Perancis bantu Malaysia bangun pertahanan sendiri - Utusan Malaysia

Perancis bantu Malaysia bangun pertahanan sendiri

MOHAMED Khaled Nordin (hadapan, tengah) ketika sesi bergambar pada Majlis Peluncuran Hari Integriti Kementerian Pertahanan 2026 di Wisma Pertahanan semalam. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perancis menawarkan bantuan kepakaran kepada Malaysia untuk membangunkan keupayaan pertahanan sendiri bagi memboleh­kan negara ini menentukan hala tuju, menjaga keselamatan dan mempertahankan kepentingan tanpa bergantung kuasa asing.

Kesediaan itu dizahirkan me­­nerusi Pelan Hala Tuju Ke­upayaan Pertahanan Dua Hala dan Perkongsian Industri Perta­hanan yang dimeterai antara Malaysia dan Perancis sempena lawatan rasmi Presiden Perancis, Emmanuel Macron baru-ba­ru ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Se­ri Mohamed Khaled Nordin ber­kata, kerjasama kali ini tidak lagi tertumpu kepada urusan jual beli aset ketenteraan semata-mata, sebaliknya menekankan pemindahan teknologi dan pembangunan ekosistem industri pertahanan tempatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, Malaysia telah me­ngeluarkan surat niat (LOI) bagi mempertimbangkan perolehan aset strategik bernilai kira-kira RM1.9 bilion.

Ujarnya, perolehan itu me­rangkumi pertimbangan pembelian empat buah helikopter tem­pur mencari dan menyelamat (CSAR) bernilai sekitar RM1.3 bilion dan 36 buah me­riam howitzer 105 milimeter (mm) dengan anggaran kos me­lebihi RM600 juta.

“Perjanjian yang sangat pen­ting telah kita tandatangani ialah soal kerjasama dalam memba­ngunkan industri pertahanan tempatan.

“Secara jelas, Perancis bersedia melihat Malaysia mempunyai keupayaan sendiri untuk mengeluarkan produk dan aset pertahanan, bermula dengan komponen-komponen, membangunkan kepakaran serta mengupayakan pusat penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO),” katanya dalam sidang akhbar selepas Sambutan Hari Integriti Kementerian Pertahanan di sini semalam.

Mohamed Khaled berkata, pendekatan baharu dalam perolehan itu adalah langkah kritikal bagi menjayakan matlamat sovereign capability (keupayaan berdaulat), sekali gus mengurangkan kebergantungan berterusan negara terhadap bekalan peralatan ketenteraan dari luar.

“Apabila kita menyatakan hasrat melakukan perolehan seperti howitzer 105mm atau helikopter, kita menterjemahkannya dalam konteks bagaimana ia dapat memberi manfaat kepada syarikat tempatan. Perancis akan mengenal pasti syarikat tempatan yang boleh menjadi pembekal dalam penghasilan komponen perolehan tersebut,” katanya.

Beliau berkata, perjanjian yang disifatkan paling jelas dan fokus pernah dimeterai Malaysia bersama negara luar itu diharap dapat menjadi penanda aras serta contoh kepada rundingan perolehan pertahanan dengan negara-negara lain pada masa depan.

“Sebagai sebuah negara yang berdaulat, kita tidak mahu sentiasa bergantung kepada negara luar untuk bekalan peralatan pertahanan kita. Kita mesti ada kedaulatan ataupun keupayaan yang dipanggil sebagai sovereign capability.

“Jadi, Perancis bersedia membantu kita untuk menjayakan sovereign capability melalui perjanjian berkenaan,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, Kementerian Pertahanan memperkenalkan sistem aduan integriti dan melantik pegawai perhubungan integriti dalam usaha membanteras salah laku, ketirisan kewangan serta penyalahgunaan kuasa dalam kementerian dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Beliau berkata, inisiatif itu sebahagian daripada usaha lebih menyeluruh untuk memperkukuh tadbir urus, meningkatkan akauntabiliti serta menutup ruang kelemahan yang boleh mendedahkan kementerian dan ATM kepada isu berkaitan integriti.

“Seramai 34 pegawai yang dilantik daripada pelbagai bahagian dan jabatan akan memastikan agenda integriti kementerian dilaksanakan secara menyeluruh, termasuk di peringkat operasi,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, integriti amat penting kerana Kementerian Pertahanan bertanggungjawab menguruskan dana awam dan aset strategik membabitkan nilai besar.

“Setiap peruntukan mesti diuruskan dengan baik, setiap prosedur perlu dipatuhi, setiap maklumat mesti dilindungi dan setiap operasi pertahanan perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab,” katanya.

Beliau memberi amaran bahawa ketirisan kewangan dan penyalahgunaan kuasa boleh melemahkan organisasi, mengurangkan keberkesanan sumber serta menjejaskan kesiapsiagaan pertahanan dalam jangka panjang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini