Penduduk bantah aktiviti pembalakan

Penduduk bantah aktiviti pembalakan

Sebahagian penduduk dan pengusaha ternakan memegang banting sebagai bantahan aktiviti pembalakan di Lata Besen berdekatan Kampung Baharu, Jerantut, Pahang. – UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Seramai 150 keluarga di dua kampung kawasan Damak menggesa pihak berwajib tidak melaksana aktiviti pembalakan di Kompartmen Satu, Hutan Simpan Jerantut Tambahan bagi melindungi sumber air bukit yang menjadi keperluan utama penduduk setempat.

Penduduk Kampung Baharu dan Kampung Som dekat sini membantah aktiviti pembalakan boleh menjejaskan projek penternakan ikan air tawar, kerbau, lembu dan kambing bergantung kepada sumber air semula jadi di hutan berdekatan.

Pemandu pelancong Bukit Panau dan Lata Besen, Mohamad Hafizi Rosnan, 36, berkata, penduduk sudah lebih lima dekad menggunakan sumber air bukit disalurkan melalui sistem saluran paip daripada kawasan hutan simpan berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Seramai 20 pengusaha kolam ikan menggunakan sepenuhnya air bukit berdekatan yang menyumbang sumber keperluan harian penduduk selain ternakan mereka.

“Bekalan air daripada Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) pula kadangkala terputus sehingga penduduk terpaksa bergantung kepada sumber alternatif air bukit untuk kegunaan di rumah,” katanya ketika bersama pemimpin setempat menyertai bantahan pembalakan di Kampung Baharu dekat sini.

Hafizi mendakwa senario yang dialami oleh pengusaha ternakan komersial dan pemilik inap desa berdepan air kotor kemungkinan akan timbul masalah kesihatan kalangan penduduk, pengunjung dan haiwan ternakan.

Sementara itu, penduduk Kampung Baharu, Muhammad Zarrif Mahmud, 35, berkata, kawasan Lata Besen ada tarikan alam semula jadi yang berpotensi dibangunkan sebagai destinasi pelancongan berasaskan alam sekitar.

“Sekiranya berlaku pembalakan secara besar-besaran boleh menyebabkan kerosakan kelestarian alam Lata Besen yang sudah menjadi tumpuan pelawat domestik dan pelancong luar sejak beberapa tahun lalu,” katanya.

Katanya, aktiviti pembalakan di kawasan itu juga menyebabkan berlaku hakisan apabila hujan lebat dan aliran air berkeladak ke kawasan kampung dan pusat ternakan komersial.

Dalam perkembangan sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Damak, Zuridan Mohd Daud berkata, aktiviti pembalakan menyebabkan ancaman ekosistem dan kelestarian alam sekitar.

“Paling membimbangkan, iaitu sebahagian penduduk dua buah kampung masih menggunakan sumber air tadahan daripada Lata Besen untuk ke­perluan harian dan pengurusan ternakan,” katanya.

Ujarnya, sebarang permohonan untuk mengeluarkan balak di kawasan itu sepatutnya ditolak oleh kerajaan negeri demi keselamatan penduduk dan jaminan kelestarian alam sekitar antara sumber pendapatan belia menerusi penglibatan dalam sektor pelancongan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini