Pertumbuhan KDNK suku keempat dijangka sederhana - Utusan Malaysia

Pertumbuhan KDNK suku keempat dijangka sederhana

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dijangka sederhana antara 4.8 peratus hingga 5.2 peratus pada suku keempat tahun ini, susulan kesan asas yang tinggi daripada tempoh sama tahun lalu.

Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, prestasi pertumbuhan pada suku keempat 2025 yang sudah mencatatkan kadar tinggi menyukarkan ekonomi negara untuk mengulangi pertumbuhan enam peratus pada suku sama tahun ini.

“Bagaimanapun, aktiviti ekonomi dijangka terus disokong oleh peningkatan perbelanjaan sempena musim perayaan dan cuti sekolah hujung tahun, selain kemasukan pelancong sempena sambutan Krismas dan Tahun Baharu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Perkembangan ini dijangka memberi manfaat kepada sektor perkhidmatan, khususnya subsektor peruncitan serta makanan dan minuman (F&B), sekali gus menjadi antara faktor yang mengimbangi pertumbuhan ekonomi.

“Namun, prospek pertumbuhan masih berdepan risiko luaran termasuk ketegangan perdagangan, tarif, sekatan eksport cip oleh Amerika Syarikat (AS) serta ketidaktentuan geopolitik,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Kelmarin, media melaporkan ekonomi negara tumbuh sebanyak 5.5 peratus pada suku ketiga, didorong prestasi eksport yang kukuh serta permintaan dalam negeri yang terus berkembang. 

Perkembangan itu membolehkan ekonomi negara mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 5.6 peratus dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, sekali gus berada di landasan tepat untuk tumbuh lebih lima peratus tahun ini.

Mengulas lanjut, Aimi Zulhazmi berkata, risiko berkaitan jerebu dan fenomena El Niño berpotensi menjejaskan aktiviti pengeluaran serta eksport negara, khususnya sepanjang Oktober dan November.

Sementara itu, Pensyarah Kanan i-CATS University College, Kuching, Profesor Madya Dr Abu Sofian Yaacob menjangkakan pertumbuhan ekonomi pada suku keempat kekal kukuh sekitar 5.0 peratus, sekiranya permintaan eksport teknologi dan perbelanjaan domestik terus berkembang.

“Bagaimanapun, prestasi itu bergantung kepada perkembangan perdagangan global dan pengeluaran komoditi. Angka 5.0 peratus ini merupakan jangkaan dan bukannya unjuran rasmi.

“Asas jangkaan itu mengambil kira penilaian Bank Negara Malaysia (BNM) bahawa pertumbuhan ekonomi sepanjang 2026 dijangka melebihi lima peratus, disokong eksport, pelaburan dan perbelanjaan isi rumah,” katanya.

Beliau berkata, dari segi pemacu pertumbuhan, sektor pembuatan khususnya industri berkaitan teknologi dijangka terus menyumbang melalui prestasi eksport.

“Bagi sektor perkhidmatan pula mendapat manfaat daripada perbelanjaan pengguna, aktiviti perniagaan dan pelancongan.

“Aktiviti pembinaan serta pelaburan dalam projek yang sedang dilaksanakan turut dijangka menyokong pertumbuhan ekonomi.

“Bagaimanapun, momentum pertumbuhan berdepan risiko daripada ketegangan geopolitik berpanjangan, peningkatan kos tenaga dan input, keadaan kewangan global yang lebih ketat serta pengeluaran komoditi yang lebih rendah,” ujarnya. 

Tambahnya, tekanan kos yang menjejaskan kuasa beli isi rumah atau kelemahan permintaan luar negara juga boleh memperlahankan pertumbuhan ekonomi pada suku keempat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini