KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri Terengganu merancang mewujudkan kawasan santuari hidupan liar berkonsepkan savana seperti di Afrika sebagai langkah jangka panjang menangani konflik antara manusia dengan gajah yang semakin membimbangkan di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Datuk Dr. Azman Ibrahim berkata, kawasan khas itu akan menyediakan habitat semula jadi kepada gajah dan hidupan liar lain sekali gus mengurangkan risiko pertembungan dengan manusia.
Menurutnya, ketika ini Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) melaksanakan beberapa pendekatan bagi mengawal konflik berkenaan termasuk pemasangan Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG), kaedah tembak halau serta operasi tangkap dan pindah.
Katanya, kaedah tembak halau bukan bertujuan membunuh sebaliknya untuk menghalau gajah kembali ke habitat asalnya.
Bagaimanapun, pendekatan itu berdepan kesukaran apabila melibatkan kumpulan gajah dalam jumlah yang besar.
“Semalam, saya dimaklumkan wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih bahawa terdapat satu kumpulan gajah di kawasan berkenaan yang dianggarkan mencecah 80 ekor.
“Keadaan ini sememangnya agak sukar untuk ditangani kerana melibatkan kumpulan gajah yang besar,” katanya semasa Persidangan DUN Terengganu di sini.
Dr. Azman berkata, operasi tangkap dan pindah pula menjadi pilihan terakhir sekiranya konflik gagal ditangani menerusi pemasangan pagar elektrik dan kaedah tembak halau.
Katanya, operasi berkenaan memerlukan kos tinggi antara RM40,000 hingga RM50,000 bagi memindahkan seekor gajah dan lazimnya lebih sesuai dilaksanakan terhadap haiwan yang bergerak bersendirian.
Dalam pada itu, beliau berkata, populasi gajah di Terengganu dianggarkan sekitar 200 ekor berdasarkan data Perhilitan manakala kira-kira 42 peratus keluasan negeri ini masih diliputi kawasan hutan yang menjadi habitat semula jadi hidupan liar berkenaan.
Menurutnya, konflik manusia dengan gajah bukan semata-mata berpunca daripada kekurangan habitat, sebaliknya turut dipengaruhi faktor penarik apabila kawasan kebun di pinggir hutan menyediakan sumber makanan yang mudah diperoleh.
“Apabila kebun-kebun dibangunkan di kawasan pinggir hutan, kawasan itu menjadi sumber makanan yang mudah diperoleh gajah kerana makanan tersedia di hadapan mata haiwan berkenaan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, keluasan tanaman yang mengalami kerosakan akibat konflik hidupan liar menunjukkan peningkatan dalam tempoh tiga tahun, iaitu daripada 0.7 hektar pada 2024 dengan nilai kerugian RM20,800 kepada 1.1 hektar pada 2025 membabitkan kerugian RM32,000.-UTUSAN











