Penguatkuasaan terhadap warga asing dilakukan menyeluruh - Polis KL

Penguatkuasaan terhadap warga asing dilakukan menyeluruh – Polis KL

FADIL MARSUS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Semua aktiviti sosial warga asing termasuk komuniti warga Afrika di ibu negara terus dipantau pihak polis bagi memastikan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pemantauan dan operasi penguatkuasaan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan sebarang aktiviti yang berpotensi menjejaskan keselamatan serta ketenteraman awam dapat ditangani.

Menurut beliau, operasi berkenaan tidak tertumpu kepada mana-mana lokasi atau kumpulan warga asing tertentu sebaliknya dilaksanakan secara menyeluruh tanpa mengira latar belakang komuniti.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sekiranya terdapat kesalahan dan keperluan untuk menjalankan operasi, kami akan laksanakannya dari semasa ke semasa tanpa mengira sama ada membabitkan warga Afrika atau warga asing dari negara lain,” katanya semasa sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Pelupusan Barang di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Fadil berkata, pihaknya merancang melakukan beberapa operasi bersepadu dengan kerjasama agensi penguat kuasa lain bagi menangani isu berkenaan.

“Operasi itu akan turut membabitkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan bagi mengenal pasti sebarang pelanggaran undang-undang.

“Kami akan terus memantau keadaan supaya perkara ini dapat dikawal dan tidak melarat sehingga menimbulkan masalah lain yang boleh mengganggu ketenteraman awam,”jelasnya.

Dalam pada itu, beliau tidak menafikan kehadiran warga asing yang membawa budaya dan gaya kehidupan berbeza perlu dipantau bagi memastikan ia tidak menjejaskan keselamatan serta keharmonian masyarakat setempat.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan orang ramai menyalurkan maklumat termasuk rakaman video atau gambar berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak polis untuk tindakan segera.

“Kami menggalakkan orang ramai menjadi mata dan telinga polis dengan menyalurkan sebarang maklumat supaya tindakan dapat diambil secepat mungkin sebelum perkara lebih serius berlaku atau mengancam keselamatan awam,” katanya.

Sebelum ini, Bukit Aman mengesahkan sedang menjalankan siasatan berhubung kesahihan dakwaan bahawa terdapat kegiatan organisasi jenayah terancang dari Nigeria dikenali sebagai De Norsemen Kclub International (DNKI).

Dakwaan mengenai kumpulan itu menjadi perhatian susulan satu hantaran di media sosial yang mendakwa organisasi itu kini bertapak di Malaysia.

Hantaran itu turut mendakwa sebahagian anggota kumpulan berkenaan memasuki Malaysia menggunakan visa pelajar sebelum direkrut menjadi ahli, selain mengaitkan kegiatan mereka dengan beberapa aktiviti mencurigakan termasuk perhimpunan yang memaparkan logo dan simbol kumpulan berkenaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini