Menjamin hari tua lebih sejahtera

Menjamin hari tua lebih sejahtera

WARGA emas perlu dijamin pendapatan, rawatan dan penjagaan yang baik agar dapat menjalani hari tua dengan selamat, sejahtera dan bermaruah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENINGKATAN jangka hayat mencerminkan kemajuan pembangunan negara. Namun, pertambahan usia menguji kemampuan negara menjamin kehidupan rakyat apabila kesihatan merosot dan pendapatan semakin terbatas.

Adakah Malaysia bersedia memastikan rakyat dapat menua dengan selamat, sejahtera dan bermaruah? Jawapannya bergantung pada keupayaan dasar awam menyediakan jaminan hidup pada usia tua.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, penduduk berumur 65 tahun dan ke atas merangkumi 8.4 peratus penduduk pada 2026, meningkat daripada 8 peratus pada 2025.

Memuatkan artikel berkaitan…

Perubahan ini menuntut persediaan dalam keselamatan pendapatan, penjagaan kesihatan dan perlindungan daripada pengabaian. Ini bermakna, sistem sokongan perlu berkembang seiring dengan pertambahan penduduk berusia. 

Belanjawan 2027 meningkatkan peruntukan Bantuan Warga Emas kepada RM1.3 bilion bagi manfaat hampir 200,000 penerima. Lebih RM40 juta turut disediakan melalui HRD Corp untuk melatih 8,000 tenaga kerja dalam sektor penjagaan.

Lebih menarik lagi, kerajaan juga mengumumkan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Warga Emas, selain pengurangan cukai perkhidmatan jagaan serta pembangunan dua pusat kepakaran penjagaan bersepadu di Pulau Pinang dan Sarawak. Langkah ini wajar disambut baik.

Persoalannya adalah sejauh mana pelaksanaannya dapat menjamin kecukupan pendapatan dan kesinambungan penjagaan. Warga emas tanpa pencen atau simpanan mencukupi memerlukan perlindungan bagi menampung kehidupan harian dan rawatan. 

Penilaian dasar perlu meneliti kecukupan bantuan, liputan serta akses kepada perkhidmatan. 

Kajian yang dijalankan Saidatulakmal Mohd. dan rakan-rakan (2018) mendapati kemiskinan warga emas lebih ketara dalam kalangan mereka yang tidak bekerja, tinggal bersendirian dan berpendidikan rendah. 

Dapatan ini menunjukkan keterbatasan perlindungan hari tua yang bergantung pada pekerjaan dan simpanan individu. Cadangan pencen asas sejagat oleh Asian Development Bank (2023) wajar diteliti sebagai jaminan pendapatan minimum, khususnya bagi mereka yang tidak diliputi skim persaraan. 

Maka, meskipun Belanjawan 2027 sudah memperkemas sistem lindungan warga emas namun hakikatnya penambahan bantuan dalam belanjawan perlu disusuli dengan penilaian terhadap jurang perlindungan ini.

Dalam Islam, tanggungjawab menjaga kebajikan rakyat berteraskan prinsip keadilan dan kemaslahatan. 

Surah al-Nahl, ayat 90 menegaskan kepentingan menegakkan keadilan, melakukan kebaikan dan menghulurkan bantuan. 

Prinsip tersebut diperkukuh melalui kaedah fiqh yang bermaksud, “Tindakan pemerintah terhadap rakyat hendaklah berasaskan kemaslahatan.”

Kaedah ini menegaskan pengurusan sumber negara mesti berorientasikan kepentingan rakyat.

Dalam kerangka maqasid syariah, pemeliharaan nyawa (hifz al-nafs) dan harta (hifz al-mal) menuntut dasar yang melindungi kesihatan, keselamatan ekonomi serta kesejahteraan warga emas. 

Oleh itu, perlindungan mereka bukan sekadar tuntutan belas kasihan, sebaliknya sebahagian daripada amanah pemerintahan.

Perlindungan warga emas turut berasaskan pengiktirafan terhadap hak golongan yang memerlukan serta tuntutan keadilan sepanjang hayat. 

Ayat 24–25 Surah al-Ma‘arij menegaskan dalam harta terdapat hak bagi mereka yang meminta dan yang tidak mendapat bahagian.

Prinsip ini memberikan asas etika kepada pengagihan sumber bagi menjamin keperluan hidup warga emas yang rentan. 

Tuntutan tersebut turut tercermin dalam riwayat Abu Yusuf dalam Kitab al-Kharaj tentang penegasan Khalifah Umar RA bahawa masyarakat tidak berlaku adil sekiranya hanya mengambil manfaat daripada seseorang ketika muda, kemudian membiarkannya ketika tua.

Prinsip ini relevan dengan sumbangan rakyat melalui pekerjaan, cukai, penjagaan keluarga dan khidmat komuniti.

Perlindungan sosial yang berjiwa rakyat perlu mengambil kira bakti yang ditabur dalam penjagaan tanpa upah yang mungkin tidak menghasilkan simpanan persaraan. Keperluan mereka yang tidak pernah berpeluang untuk bekerja perlu dilindungi kerana kemampuan ekonomi seseorang tidak seharusnya menentukan aksesnya kepada penjagaan yang selamat.

Dalam pada itu, tanggungjawab keluarga kekal penting sebagaimana tuntutan berbakti kepada ibu bapa sebagaimana dalam ayat 23, Surah al-Isra’. Tetapi, perlu kita akui, ahli keluarga masih memerlukan sokongan apabila berhadapan dengan kekangan pendapatan, masa dan kemahiran.

Perkhidmatan penjagaan komuniti, latihan penjaga dan penjagaan sementara wajar diperluas supaya ahli keluarga dapat menunaikan tanggungjawab tanpa mengabaikan kesihatan serta kehidupan sendiri.

 

PERLINDUNGAN WARGA EMAS PERLU JAMINAN UNDANG-UNDANG 

Aspek perundangan juga perlu diberikan perhatian berat. Arab Saudi melalui Undang-Undang Hak dan Penjagaan Warga Emas 2022 menetapkan tanggungjawab penjagaan serta hukuman bagi kesalahan tertentu. 

Emiriah Arab Bersatu menerusi Undang-Undang Persekutuan No. 9 of 2019 menyediakan perlindungan terhadap penderaan dan pengabaian warga emas warganegaranya. 

Singapura pula menggunakan Akta Perlindungan Golongan Dewasa Rentan 2018 bagi membolehkan campur tangan dan perintah perlindungan terhadap orang dewasa rentan. 

Malaysia boleh meneliti pengalaman ini dalam menggubal RUU Warga Emas untuk memperkukuh saluran aduan, pengesanan awal dan campur tangan perlindungan.

Pengalaman Turkiye menawarkan pendekatan pembiayaan kebajikan. Darülaceze di Istanbul, yang diasaskan pada 1895 oleh Sultan Abdul Hamid II, memberikan contoh penjagaan warga emas dan golongan rentan. 

Malaysia boleh meneroka wakaf produktif untuk menyokong perkhidmatan penjagaan warga emas, dengan pengurusan telus dan pemantauan mutu. Sumbangan ini perlu melengkapi tanggungjawab asas kerajaan.

Belanjawan 2027 menyediakan peluang memperkukuh jaminan hidup warga emas.

Kejayaannya perlu dinilai melalui kecukupan pendapatan, akses rawatan dan keselamatan penjagaan. 

Negara bertanggungjawab memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara pada usia tua sebagai menghargai sumbangan mereka kepada pembangunan masyarakat dan negara.

Peningkatan jangka hayat perlu disertai jaminan pendapatan, akses kepada rawatan dan penjagaan agar warga emas dapat menjalani kehidupan dengan sejahtera, bermaruah dan bermakna. –UTUSAN

 

PENULIS ialah Felo Kanan Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia dalam Proses Semakan Berkala Sejagat UPR (MACSA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini