KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil pihak yang terlibat dalam pengurusan dan pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1 bagi menyiasat kemungkinan berlaku pelanggaran tatacara kewangan atau unsur salah guna kuasa.
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, siasatan turut melibatkan pegawai dan pihak yang pernah berkhidmat sejak projek berkenaan mula dirancang.
Katanya, PAC tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku dan akan memastikan pihak yang bertanggungjawab tidak terlepas daripada tindakan undang-undang.
“PAC tidak akan berkompromi dengan sebarang pelanggaran tatacara kewangan mahupun unsur salah guna kuasa dan tidak akan membiarkan mana-mana pihak yang bertanggungjawab terlepas daripada dipertanggungjawabkan,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen hari ini.
Beliau berkata, PAC turut meminta kerjasama penuh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk meneliti segala fakta dan keterangan sepanjang prosiding siasatan dijalankan.
Menurutnya, wakil SPRM merupakan ahli ex-officio PAC yang turut hadir dalam setiap prosiding manakala sebarang penemuan salah laku akan dirujuk untuk tindakan penguatkuasaan undang-undang.
Katanya, siasatan itu dibuat susulan penemuan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2/2026 berhubung pengurusan dan pelaksanaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1.
Mas Ermieyati berkata, PAC mengadakan perbincangan lebih satu jam bersama lima Ahli Parlimen dari Sabah semalam bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai masalah pelaksanaan projek berkenaan.
Katanya, lima wakil rakyat terbabit dipilih berdasarkan prestasi kemajuan kerja fizikal paling kritikal di sepanjang jajaran projek yang mengalami kelewatan dan berstatus projek sakit.
Mereka ialah Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Dr. Mohammad Yusof Apdal; Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee; Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau; Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching dan Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis.
“Melalui sesi perbincangan semalam, PAC telah menerima maklum balas yang amat baik dan terperinci daripada kelima-lima Ahli Parlimen Sabah berkenaan situasi sebenar yang sedang berlaku di lapangan,” katanya.
Beliau berkata, mereka turut mendedahkan masalah harian yang ditanggung penduduk serta ancaman terhadap keselamatan dan nyawa pengguna jalan raya akibat projek yang tertangguh terlalu lama.
Jelasnya, selain itu, PAC Negeri Sabah turut dijemput menyertai prosiding siasatan yang dijadual bermula pada 25 November ini dengan memanggil saksi utama daripada Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah.-UTUSAN










