PETALING JAYA: Bintang skuasy No. 4 dunia, S. Sivasangari membuka aksinya dengan langkah kanan selepas menewaskan wakil Mesir, Malak Khafagy pada peringkat 16 terbaik Terbuka China di Shanghai, China, hari ini.
Diletakkan selaku pilihan pertama, Sivasangari yang mendapat bye pada peringkat 32 terbaik diberi tentangan sengit sebelum berhasil menundukkan pemain ke-38 dunia itu 11-7, 8-11, 11-8, 11-8 dalam masa 44 minit.
Pada suku akhir, Jumaat ini, anak jati Sungai Petani, Kedah itu akan berdepan pemain No. 16 dunia, Farida Mohamed juga dari Mesir.
Farida melepasi halangan pusingan kedua, selepas mengetepikan pemain muda Malaysia yang menghuni ranking ke-26 dunia, Aira Azman 8-11, 11-9, 11-6, 11-9 dalam masa 38 minit.
Turut mara ke suku akhir, pemain No. 16 dunia, Ng Eain Yow yang mengalahkan wakil Perancis, Melvil Scianimanico yang berada di ranking ke-22 dunia 11-7, 11-8, 11-7 dalam masa 56 minit.
Ujian getir menanti Eain Yow di suku akhir apabila dia dijadual menentang jaguh No. 1 dunia, Mostafa Asal, dari Mesir, esok.
Sementara itu, dua lagi wakil Malaysia, Aifa Azman dan Noor Ainaa Amani Ampandi tumpas kepada lawan masing-masing dalam perlawanan yang berlangsung lebih awal.
Pemain No. 20 dunia, Aifa terpaksa akur kepada pencabar dari Mesir yang menghuni ranking No. 14 dunia, Salma Hany 10-12, 11-8, 9-11, 5-11 dalam masa 66 minit.
Ainaa yang berada di ranking ke-58 dunia pula tewas di tangan bintang No. 7 dunia, Satomi Watanabe dari Jepun 6-11, 1-11, 8-11 dalam masa 20 minit. – UTUSAN











