LONDON: Ketua pasukan Mercedes, Toto Wolff menolak kemungkinan bahawa juara dunia Formula Satu (F1), Andrea Kimi Antonelli akan berhijrah ke Ferrari, sambil menegaskan pelumba Itali itu kekal setia kepada Mercedes.
Antonelli yang merangkul kejuaraan dunia pertamanya musim ini terus dikaitkan dengan Ferrari, pasukan yang kali terakhir menurunkan pelumba Itali, Giancarlo Fisichella pada 2009 ketika itu.
Bagaimanapun, Wolff yakin pelumba kelahiran Bologna itu tidak akan meninggalkan Mercedes selepas membuktikan kemampuannya meraih kemenangan perlumbaan dan gelaran dunia bersama pasukan berkenaan pada musim ini.
“0.0 peratus untuk dia ke Ferrari. Kerana Kimi dan keluarganya orang yang setia. Namun, kami tidak bergantung kepada kesetiaan semata-mata.
“Musim ini turut membuktikan kami mampu memenangi perlumbaan dan gelaran. Itulah perkara paling penting bagi setiap pelumba, termasuk Kimi. Dia sebati dengan Mercedes seperti roda pada kereta.
“Sebab itulah selepas memenangi gelaran, dia berkata bahawa dia tidak dapat membayangkan dirinya memandu untuk pasukan lain selain Mercedes,” kata Wolff dalam wawancara tersebut baru-baru ini.
Wolff turut percaya Antonelli berpotensi menjadi lebih popular di Itali berbanding Michael Schumacher, yang pernah mendominasi F1 ketika bersama Ferrari pada awal tahun 2000-an dahulu.
Menurutnya, kejayaan Antonelli membuatkan penyokong Ferrari turut menerima pelumba muda itu, malah ada yang memakai baju Ferrari bersama topi Mercedes ketika menghadiri perlumbaan di litar.
Beliau menjadikan Grand Prix Itali di Monza sebagai contoh apabila penonton kecewa dua jentera Ferrari gagal menang, tetapi tetap meraikan kemenangan Antonelli di podium perlumbaan itu. – AGENS











