PADANG BESAR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis mengesan kegiatan mempromosikan perkhidmatan pengangkutan penumpang secara tidak sah atau prebet sapu di negeri ini yang semakin berleluasa antaranya seperti Lady’s Driver.
Perkhidmatan itu dikenal pasti bergerak secara aktif menerusi platform media sosial seperti Telegram, Threads dan beberapa lagi.
Pengarah JPJ negeri, Noraini Mohd Nawi berkata, menerusi pemantauan dan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan, terdapat dua kes melibatkan perkhidmatan Lady’s Driver telah dikesan serta diambil tindakan.
“Lady’s driver ini sama konsep seperti mana prebet sapu cuma mereka promosi dalam media sosial untuk bawa penumpang wanita bagi tujuan menemani membeli barang, hantar ke hospital, rumah saudara mara dan pelbagai lagi.
“JPJ Perlis memandang serius kegiatan prebet sapu ini kerana pengendalian perkhidmatan pengangkutan penumpang ini adalah tanpa lesen dan kelulusan yang sah. Ini bukan sahaja melanggar peruntukan undang-undang malah dapat menjejaskan keselamatan serta kepentingan penumpang,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Noraini berkata, bagi tempoh sejak Januari hingga Oktober tahun ini, JPJ negeri telah mengeluarkan sebanyak 31 notis atas pelbagai kesalahan berkaitan kegiatan pengangkutan perkhidmatan awam tanpa lesen pengendali yang sah.
Ujarnya, daripada jumlah itu, 14 buah kenderaan telah disita untuk tindakan selanjutnya.
“Bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, jumlah keseluruhan denda yang dikenakan oleh mahkamah atas kesalahan kegiatan itu juga adalah berjumlah RM14,000,” katanya.
Jelas Noraini, kegiatan dijalankan itu adalah merupakan satu kesalahan penyalahgunaan Lesen Kenderaan Motor (LKM) di bawah Seksyen 23(2), Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333].
Dalam perkembangan berasingan, Noraini berkata, hasil tindakan penguatkuasaan dilaksanakan oleh JPJ negeri terhadap kenderaan berdaftar Thailand bagi tempoh sejak tahun 2025 hingga Oktober lalu merekodkan nilai keseluruhan kutipan saman termasuk bayaran tunggakan berjumlah RM257,430.
Katanya, dalam tempoh yang sama, sebanyak dua buah kenderaan turut dilucuthak mengikut peruntukan undang-undang yang berkuatkuasa.
“Setiap kenderaan asing yang memasuki dan menggunakan jalan raya negara ini
hendaklah memenuhi segala peraturan ditetapkan termasuk syarat pelesenan, dokumen kenderaan dan perlindungan insurans,” katanya.
Tambah beliau, penguatkuasaan ini bertujuan memastikan semua pengguna jalan raya termasuk kenderaan asing mematuhi undang-undang dan peraturan ditetapkan demi menjamin keselamatan serta kelancaran sistem pengangkutan negara. – UTUSAN











