10 bekas Exco Negeri Sembilan tarik balik saman

10 bekas Exco Negeri Sembilan tarik balik saman

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seramai 10 bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan menarik balik saman pemula terhadap Setiausaha Kerajaan Negeri dan dua pihak lain berhubung kemelut perlembagaan negeri itu di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Hakim Mahkamah Tinggi, Roz Mawar Rozain membenarkan penarikan balik saman itu selepas dimaklumkan peguam plaintif, Datuk Mohd Hafarizam Harun bahawa anak guamnya memutuskan untuk menarik balik keseluruhan saman termasuk permohonan di bawah bidang kuasa asal Mahkamah Persekutuan.

Mohd Hafarizam berkata, keputusan itu dibuat susulan perkembangan terbaharu berhubung peletakan jawatan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim yang mengambil kira peruntukan perlembagaan bahawa keseluruhan anggota Exco negeri turut terhenti daripada memegang jawatan apabila Menteri Besar meletakkan jawatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, perkembangan berkenaan menyebabkan tindakan undang-undang itu tidak lagi relevan untuk diteruskan.

Bagaimanapun, Roz Mawar menjelaskan Ismail belum secara rasmi meletakkan jawatan ketika prosiding berlangsung kerana surat peletakan jawatan hanya dikemukakan dan masih belum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Mohd Hafarizam berkata, pihak plaintif pada awalnya memohon penangguhan prosiding sehingga Jumaat bagi memberi ruang kepada Tuanku Muhriz mengeluarkan keputusan berhubung peletakan jawatan itu.

Bagaimanapun, selepas berbincang dengan anak guamnya, mereka memutuskan untuk menarik balik prosiding berkenaan tanpa kebebasan memfailkan semula saman.

Mahkamah turut memerintahkan plaintif membayar kos sebanyak RM20,000 kepada defendan pertama iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, RM20,000 kepada defendan kedua iaitu Kerajaan Negeri dan RM8,000 kepada defendan ketiga, Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan (DKU), tertakluk kepada allocator.

Dalam pada itu, Roz Mawar berkata, mahkamah tidak menghalang mana-mana pihak daripada menarik balik prosiding undang-undang, malah tindakan itu mungkin menjadi pilihan lebih wajar dalam keadaan tertentu.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan mahkamah telah memperuntukkan masa dan sumber yang besar sejak saman pemula itu difailkan lima bulan lalu menerusi sijil segera, termasuk mengendalikan pelbagai permohonan serta menetapkan jadual pendengaran bantahan awal.

Beliau berkata, pihak yang memohon bidang kuasa mahkamah, khususnya bagi kes segera membabitkan persoalan perlembagaan dan pentadbiran kerajaan negeri, turut bertanggungjawab memastikan penggunaan sumber kehakiman secara berhemah.

Terdahulu, 10 bekas Exco berkenaan memfailkan saman bagi mendapatkan tafsiran terhadap Perlembagaan Negeri Sembilan dengan menamakan Setiausaha Kerajaan Negeri dan Kerajaan Negeri sebagai defendan, manakala DKU dibenarkan mencelah dalam prosiding itu. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini