PETALING JAYA: Selangor diiktiraf sebagai Negeri Pintar Malaysia bagi tahun 2026 selepas memulakan dasar itu melalui penubuhan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) sejak 2016.
Langkah tersebut bersandarkan kepada aspirasi untuk menjadikan Selangor sebagai Bandar Pintar terkemuka di ASEAN menjelang tahun lalu yang diperkukuh dengan pelaksanaan Smart Selangor Action Plan 2025.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, usaha berkenaan kemudian diteruskan dengan penyediaan Blueprint Smart City Negeri Selangor 2.0 (2040) oleh PLAN Malaysia Selangor.
Katanya, pengiktirafan tersebut sebagai manifestasi terhadap usaha berterusan kerajaan negeri, PLAN Malaysia Selangor, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi berkaitan dalam memacu agenda pendigitalan dan pembangunan bandar pintar di negeri ini.
Malah, jelasnya, sehingga kini enam PBT iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Subang Jaya, Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Majlis Perbandaran Kuala Langat diikitar sebagai Bandar Pintar Dinamik Tahap 2.
Sementara enam lagi PBT lain iaitu Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Majlis Perbandaran Sepang (MPSp), Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) dan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) pula diiktiraf sebagai Bandar Pintar Perintis Tahap 1.

“Syabas dan tahniah kepada semua pihak yang menyumbang kepada pencapaian itu. Semoga pengiktirafan itu menjadi pemangkin untuk kita terus memperkukuh agenda Negeri Pintar demi pembangunan yang lebih mampan dan kesejahteraan rakyat.
“Namun begitu, pengiktirafan itu bukanlah titik noktah. Sebaliknya, ia menjadi pemangkin untuk melangkah lebih jauh melalui penyediaan Blueprint Smart City Negeri Selangor 2.0 (2040) bagi memastikan pembangunan negeri yang lebih pintar, mampan, inklusif dan berdaya tahan,” katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Exco Pelancongan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ng Suee Lim pada Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia peringkat Selangor 2026, malam tadi.
Dalam masa sama, Amirudin turut mengingatkan pembangunan tidak seharusnya mengorbankan kelestarian alam sekitar serta keselamatan rakyat sehingga membawa kepada kemusnahan dan bencana.
“Pencerobohan kawasan sensitif alam sekitar boleh mengakibatkan tragedi seperti tanah runtuh, banjir dan kebakaran hutan, malah mengancam nyawa manusia. Pembangunan bandar yang maju juga harus diukur berdasarkan keupayaan bandar melindungi keselamatan rakyat serta menghadapi risiko bencana,” tambahnya.
Dalam pada itu, ucapan beliau turut menyentuh isu banjir yang berlaku mutakhir ini dan menyifatkannya sebagai cabaran dalam perancangan bandar yang semakin kritikal.
“Kejadian banjir yang melanda beberapa kawasan di Selangor baru-baru ini merupakan satu peringatan bahawa aspek risiko bencana tidak boleh lagi dilihat sebagai perkara sampingan dalam perancangan pembangunan.
“Sebaliknya, ia mesti menjadi pertimbangan utama dalam setiap keputusan perancangan guna tanah, khususnya bagi kawasan berisiko banjir, kawasan rendah, dataran banjir dan kawasan sensitif alam sekitar,” jelasnya.
Katanya lagi, perancang bandar bukan sekadar memastikan pembangunan mematuhi rancangan pemajuan dan garis panduan sedia ada, tetapi juga perlu berani melihat ke hadapan, mengenal pasti risiko serta mencadangkan pendekatan perancangan yang lebih progresif dan berasaskan bukti. – UTUSAN









