SETIAP kali banjir berlaku, pelbagai punca mula diperkatakan. Hujan lebat, longkang tersumbat, sistem saliran tidak mencukupi dan kelewatan projek tebatan banjir sering menjadi perhatian.
Semua faktor itu mempunyai asas. Namun, satu perkara yang lebih asas perlu diberi perhatian, iaitu ke mana air hujan hendak pergi apabila ruang semula jadinya semakin banyak diambil untuk pembangunan?
Kita membangunkan kawasan tanah rendah, menambak paya, mengecilkan rizab sungai, mengubah laluan air serta menutup kawasan tadahan dengan konkrit. Apabila air kemudiannya melimpah ke jalan raya dan memasuki rumah, kejadian itu pula dianggap sebagai bencana yang sukar dielakkan.
Hakikatnya, alam sudah menyediakan sistem pengurusan airnya sendiri. Sungai mempunyai dataran banjir, paya berfungsi sebagai ruang penyimpanan air, kawasan tadahan mengumpul serta menyalurkan aliran, manakala tanah semula jadi membenarkan air meresap ke dalam bumi.
Semua unsur ini bukan tanah kosong yang menunggu untuk dibangunkan, sebaliknya sebahagian daripada sistem semula jadi yang menyokong kehidupan dan keseimbangan ekologi.
JANGAN ANGGAP TANAH RENDAH TIDAK BERNILAI
Dalam pembangunan hartanah, tanah lazimnya dinilai berdasarkan keluasan, lokasi, akses dan potensi komersial. Kawasan yang belum dibangunkan mudah dianggap sebagai aset yang belum dimanfaatkan, khususnya jika terletak berhampiran pusat bandar atau mempunyai jaringan pengangkutan yang baik.
Pemikiran seperti ini boleh menyebabkan kawasan semula jadi semakin terpinggir. Tanah rendah, paya dan dataran banjir sering menjadi sasaran penambakan kerana dianggap kurang produktif.
Sedangkan kawasan tersebut mempunyai fungsi hidrologi yang penting dengan menyediakan ruang untuk air berkumpul, disimpan sementara dan dilepaskan secara beransur-ansur.
Dataran banjir ialah kawasan semula jadi di sepanjang sungai yang boleh menerima limpahan apabila paras air meningkat. Ia membantu mengurangkan kelajuan aliran serta menyimpan sebahagian air buat sementara waktu.
Apabila kawasan berkenaan ditambak untuk perumahan, pembangunan komersial atau infrastruktur, sebahagian ruang yang diperlukan sungai ketika berlaku peningkatan paras air turut hilang.
Air tidak mengenal sempadan lot, status hak milik atau nilai pasaran hartanah. Apabila hujan turun dan sungai melimpah, air akan bergerak mengikut bentuk muka bumi serta laluan aliran yang tersedia. Jika ruang semula jadi telah diambil, kawasan pembangunan berhampiran berkemungkinan menerima kesannya.
SUNGAI BUKAN SEKADAR SALURAN AIR
Sungai juga tidak boleh dilihat hanya sebagai saluran untuk membawa air dari hulu ke hilir. Ia merupakan sistem ekologi yang berkait rapat dengan tanah di sekitarnya, tumbuh-tumbuhan, kawasan paya dan dataran banjir.
Rizab sungai pula bukan sekadar jalur tanah yang ditinggalkan di tepi sungai kerana diwajibkan oleh peraturan. Kawasan ini berfungsi sebagai ruang penampan, koridor ekologi, kawasan vegetasi serta perlindungan kepada tebing.
Tumbuhan di sepanjang sungai membantu menstabilkan tebing, mengurangkan hakisan dan menyediakan habitat kepada pelbagai hidupan. Kawasan bervegetasi juga membantu menapis sebahagian bahan cemar daripada aliran permukaan sebelum memasuki sungai.
Apabila rizab sungai dikecilkan, diturap atau dibangunkan, kita bukan sekadar kehilangan landskap semula jadi. Sebahagian fungsi perlindungan sungai turut terjejas.
Kita juga perlu berhenti melihat sungai sebagai longkang konkrit yang mesti diluruskan, dilebarkan dan diperkukuh untuk mempercepatkan aliran. Tidak semua masalah banjir boleh diselesaikan dengan mengalirkan air secepat mungkin ke hilir. Pelepasan air yang terlalu pantas dalam jumlah besar boleh meningkatkan beban aliran di kawasan rendah.
Dalam keadaan tertentu, pendekatan yang lebih berkesan ialah memberikan sungai ruang yang mencukupi untuk berfungsi secara semula jadi.
PAYA BUKAN TANAH TERBIAR
Persepsi kawasan paya ialah tanah terbiar atau tidak produktif juga perlu diubah. Tanah lembap mempunyai keupayaan menyimpan air dan menyokong pelbagai fungsi ekologi. Kawasan ini turut menjadi habitat hidupan liar, membantu mengekalkan kualiti air serta menyumbang kepada keseimbangan ekosistem.
Dalam pengurusan banjir, tanah lembap tertentu boleh bertindak sebagai kawasan penyimpanan air semula jadi. Ketika hujan lebat, air boleh memasuki kawasan berkenaan dan disimpan sementara, bergantung pada keadaan tanah, tumbuh-tumbuhan serta hubungannya dengan sistem sungai.
Sebab itu, kawasan paya tidak seharusnya terus dianggap sebagai tanah yang perlu ditebus guna atau ditambak bagi meningkatkan nilai pembangunan. Fungsi semula jadinya perlu dinilai terlebih dahulu sebelum keputusan perubahan guna tanah dibuat.
Tidak semua kawasan paya mempunyai fungsi dan kapasiti hidrologi yang sama. Penilaian teknikal tetap diperlukan berdasarkan keadaan sebenar sesuatu tapak. Namun, jika kawasan tersebut memainkan peranan penting dalam menyimpan air, menyokong aliran sungai atau melindungi ekosistem, fungsi itu wajar dipelihara.
BIARKAN ALAM MEMBANTU MENGURUS AIR
Sebahagian penyelesaian sebenarnya sudah tersedia. Kawasan tadahan perlu dikekalkan, dataran banjir dipelihara, rizab sungai dilindungi, laluan air semula jadi tidak diganggu dan kawasan paya diberikan ruang untuk terus berfungsi.
Pendekatan ini selari dengan konsep penyelesaian berasaskan alam semula jadi dan infrastruktur biru-hijau yang menggabungkan sungai, tasik, tanah lembap, tumbuh-tumbuhan serta ruang hijau sebagai sebahagian daripada infrastruktur bandar.
Infrastruktur kelabu seperti longkang konkrit, tembok penahan dan saliran tetap diperlukan. Namun, pembinaannya perlu bergerak seiring dengan sistem hijau dan biru yang mengekalkan fungsi semula jadi air.
Pendekatan tersebut juga perlu bermula pada peringkat perancangan guna tanah, bukan selepas kawasan dilanda banjir. Pelan tempatan dan rancangan pembangunan perlu mengenal pasti kawasan tadahan, dataran banjir, tanah lembap serta laluan air semula jadi sebagai kawasan yang mempunyai kepentingan ekologi dan hidrologi.
Pihak berkuasa tempatan (PBT) pula perlu lebih tegas mengawal pembangunan di kawasan berisiko. Penilaian kesan sesuatu projek tidak sepatutnya terhad kepada sempadan tapak. Kesan terhadap keseluruhan kawasan tadahan serta komuniti di hilir juga perlu dipertimbangkan.
Peranan perancang bandar, jurutera, arkitek landskap dan pakar alam sekitar menjadi penting dalam pendekatan ini. Setiap disiplin perlu bekerja secara bersepadu supaya keputusan pembangunan tidak menjejaskan keseluruhan sistem landskap.
Arkitek landskap, misalnya, bukan hanya mengurus pokok hiasan atau taman permainan. Kepakaran bidang ini turut merangkumi analisis tapak, pemeliharaan topografi, pengurusan vegetasi, perancangan koridor hijau serta integrasi sistem semula jadi dalam pembangunan.
PEMBANGUNAN PERLU TAHU BATAS
Kita tidak menolak pembangunan. Rumah perlu dibina, ekonomi perlu berkembang dan bandar perlu menyediakan peluang pekerjaan serta kemudahan kepada masyarakat. Namun, pembangunan yang baik tidak bermaksud setiap kawasan tanah mesti dibangunkan.
Ada tanah yang lebih bernilai jika dikekalkan sebagai hutan. Ada kawasan yang lebih bermanfaat sebagai paya. Ada dataran yang wajar terus menjadi ruang limpahan sungai dan ada kawasan rendah yang lebih sesuai berfungsi sebagai takungan semula jadi berbanding kawasan perumahan.
Kita perlu menerima tidak semua tanah sesuai untuk pembangunan walaupun lokasinya strategik dan nilai komersialnya tinggi.
Jika dataran banjir perlu dikekalkan, maka kekalkanlah. Jika kawasan paya perlu dipulihara, jangan ditambak. Jika rizab sungai perlu dilindungi, jangan anggapnya sebagai ruang lebihan yang boleh dikorbankan apabila pembangunan memerlukan lebih banyak tanah.
Ukuran kejayaan pembangunan juga perlu diperluaskan. Jangan hanya menghitung jumlah projek, ketinggian bangunan atau keuntungan yang dijana. Nilai juga kawasan semula jadi yang berjaya dikekalkan, sungai yang terus berfungsi dan ruang air yang tidak dikorbankan.
Air memerlukan ruang. Apabila ruang itu diambil untuk pembangunan, risiko yang terhasil akhirnya turut kembali kepada manusia. -UTUSAN
PENULIS ialah Profesor di Jabatan Senibina Landskap, Kulliyyah Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar (KAED), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).











