Kaji mekanisme ganti rugi perkasa reformasi keadilan jenayah - Utusan Malaysia

Kaji mekanisme ganti rugi perkasa reformasi keadilan jenayah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Malaysia perlu mempertimbangkan kajian menyeluruh terhadap kebolehlaksanaan mekanisme diyat atau ganti rugi dalam sistem keadilan jenayah negara.

Ia sebagai sebahagian usaha memperkukuh reformasi undang-undang dan mewujudkan keseimbangan antara hak mangsa serta peluang pemulihan pesalah.

Pensyarah Kanan Syariah (Kehakiman Islam), Fakulti Pengajian Kontemporari Islam Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr. Hasiah Mat Salleh berkata, kajian tersebut perlu melibatkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk pakar perundangan Islam, pengamal undang-undang jenayah, institusi kehakiman, pembuat dasar dan wakil keluarga mangsa.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut beliau, tujuan utama kajian itu bukan untuk menggantikan sistem perundangan sedia ada, sebaliknya menilai sejauh mana prinsip diyat mampu menyumbang kepada pelaksanaan keadilan yang lebih menyeluruh dan berteraskan pemulihan.

“Keadilan yang sebenar bukan sekadar menghukum kesalahan yang telah berlaku, tetapi turut mengambil kira bagaimana masyarakat dapat dilindungi dan masa depan dibina dengan lebih baik,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau mengulas perbincangan hangat dalam kalangan masyarakat susulan satu kes berprofil tinggi membabitkan seorang pelajar cemerlang yang berdepan prosiding pembunuhan, sehingga mencetuskan pelbagai pandangan mengenai keseimbangan antara keadilan buat mangsa dan ruang pemulihan bagi pesalah muda.

Dr. Hasiah berkata, Malaysia sebenarnya sudah melangkah ke arah reformasi sistem keadilan jenayah menerusi penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846) yang berkuat kuasa pada 4 Julai 2023.

Katanya, pindaan tersebut memberikan kuasa budi bicara kepada mahkamah dalam menjatuhkan hukuman bagi kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Mahkamah kini boleh memilih sama ada menjatuhkan hukuman mati atau pemenjaraan antara 30 hingga 40 tahun berserta sebatan tidak kurang 12 kali, bergantung kepada fakta dan keadaan sesuatu kes.

“Perubahan ini menunjukkan undang-undang negara sudah mula bergerak ke arah pendekatan yang lebih seimbang dan tidak lagi menjadikan hukuman mati sebagai hukuman mandatori,” katanya.

Mengulas perspektif perundangan Islam, beliau menjelaskan bahawa syariah menyediakan mekanisme keadilan yang merangkumi qisas, diyat dan kemaafan, sebagaimana yang diperuntukkan dalam Surah al-Baqarah ayat 178.

Menurutnya, dalam kes pembunuhan sengaja yang memenuhi syarat qisas, waris mangsa mempunyai hak untuk memberi kemaafan dan menerima pampasan diyat sebagai ganti hukuman balas.

Bagaimanapun, kata Hasiah, mekanisme tersebut belum diperuntukkan dalam sistem undang-undang jenayah Malaysia ketika ini dan kemaafan waris tidak secara automatik menggugurkan pertuduhan yang dikenakan terhadap tertuduh.

“Cadangan mengkaji mekanisme diyat bukan bermaksud pesalah boleh membeli kebebasan dengan wang ringgit. Sebaliknya, jika ingin dipertimbangkan pada masa depan, ia perlu disokong oleh kerangka perundangan yang ketat, perlindungan hak waris mangsa, kemaafan tanpa sebarang paksaan serta pengawasan rapi mahkamah,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa pemeliharaan nyawa atau hifz al-nafs yang menjadi antara teras Maqasid Syariah mesti kekal sebagai keutamaan dalam memastikan hak mangsa sentiasa terbela.

Pada masa sama, katanya, faktor seperti usia, tahap kematangan, penyesalan dan potensi pemulihan seseorang pesalah muda juga wajar diberi pertimbangan sewajarnya dalam proses penghakiman.

Menyentuh kes yang sedang dibicarakan, Dr. Hasiah menasihatkan orang ramai supaya menghormati proses perundangan dan menyerahkan sepenuhnya kepada mahkamah bagi menentukan fakta serta hukuman yang bersesuaian.

“Setiap tertuduh berhak menikmati prinsip anggapan tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah oleh mahkamah. Saya amat bersimpati terhadap keluarga mangsa yang kehilangan insan tersayang dan pada masa sama memahami beban emosi yang ditanggung keluarga tertuduh. Semoga keadilan dapat ditegakkan dan hak semua pihak terus terpelihara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini