WASHINGTON: Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), JD Vance berikrar bahawa Presiden, Donald Trump tidak akan membiarkan konflik yang sedang berlangsung dengan Iran berlarutan menjadi komitmen ketenteraan jangka panjang.
Beliau turut menolak desakan pihak tertentu yang mahukan penglibatan berpanjangan tentera AS di rantau itu, sambil menegaskan pentadbiran Rumah Putih kekal komited mengelakkan satu lagi perang tanpa penghujung.
Dalam satu temu bual bersama saluran berita Fox News, Vance menjelaskan tidak wujud sebarang percanggahan pendapat antara beliau dan Trump berhubung hala tuju konflik berkenaan, malah menekankan presiden berhasrat menamatkan peperangan tersebut secepat mungkin.
“Ramalan saya, apa jua keputusan muktamad yang bakal diambil presiden nanti, pasti akan ada pihak yang menuntut lebih lagi dan mahu peperangan ini berterusan tanpa had masa.
”Apa pun, saya sangat yakin dengan Presiden AS dan sekali lagi ditegaskan, kami sependapat. Walau bagaimana sekali pun beliau memutuskan untuk menamatkan konflik ini, ia tidak akan dibiarkan menjadi perang berpanjangan,” katanya.
Kenyataan Vance itu hadir ketika AS dan Iran masih terperangkap dalam konfrontasi ketenteraan, tatkala perdebatan mengenai kos serta tempoh peperangan semakin memuncak di Washington.
Tegasnya, kerajaan AS sama sekali tidak akan membenarkan operasi ketenteraan tersebut berlanjutan sehingga 10 atau 15 tahun, malah tidak juga untuk tempoh dua tahun.
Vance turut membidas segelintir pengkritik dan penyokong dasar luar yang didakwanya mahu AS kekal terlibat secara berterusan, sambil mengingatkan bahawa pentadbiran Trump telah berjanji kepada pengundi untuk mengelakkan peperangan di luar negara yang berlarutan.
“Walaupun ramai golongan neokonservatif dan pihak lain mahu kami kekal di sana selama-lamanya, kami tidak akan berbuat demikian kerana kami sudah berjanji untuk tidak mengulanginya,” ujarnya.
Beliau pada masa sama menyuarakan keyakinan bahawa Trump akhirnya akan menoktahkan peperangan tersebut dengan membawa hasil yang memberangsangkan buat rakyat AS.











