AS dakwa Iran rancang lancar serangan bom radioaktif, senjata kimia di Washington

AS dakwa Iran rancang lancar serangan bom radioaktif, senjata kimia di Washington

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Agensi perisikan Amerika Syarikat (AS) mengesan rancangan Iran untuk melancarkan serangan menyasarkan pegawai kanan pentadbiran Presiden, Donald Trump di Washington DC dengan menggunakan bom radioaktif atau senjata kimia.

Memetik laporan rangkaian berita CNN pada Isnin yang merujuk kepada sumber terdekat perisikan, pendedahan itu telah mencetuskan kebimbangan keselamatan yang tinggi serta pelan kontingensi di peringkat kerajaan persekutuan.

Bagaimanapun, kalangan pegawai keselamatan AS dilaporkan masih berbelah bahagi mengenai sama ada Teheran benar-benar memiliki keupayaan operasi atau niat mutlak untuk melaksanakan serangan sedemikian dalam masa terdekat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sumber perisikan menjelaskan aktiviti Iran itu sekadar persediaan awal untuk mencari pilihan serangan, bukan bukti serangan akan berlaku serta-merta.

Bagaimanapun, dua sumber mengesahkan Teheran sudah menyenaraikan lokasi dan sasaran tertentu di ibu negara AS itu.

Jurucakap Rumah Putih, Lauren Bis memaklumkan pentadbiran sedang memantau rapi segala bentuk ancaman yang mungkin muncul, tetapi menegaskan tiada ancaman segera yang disahkan setakat ini.

Beliau berkata, AS sentiasa memantau setiap kemungkinan ancaman, namun buat masa ini tiada sebarang ancaman nyata yang dikesan terhadap keselamatan negara.

Maklumat risikan terbaharu itu difahamkan mencetuskan beberapa siri mesyuarat tergempar dalam kalangan pegawai tertinggi AS sepanjang minggu lalu bagi membincangkan langkah pencegahan serta tindak balas sewajarnya.

Kebimbangan keselamatan tersebut turut memberi kesan langsung kepada kawalan perlindungan pegawai kanan kerajaan apabila Setiausaha Perbendaharaan, Scott Bessent dilaporkan telah dipindahkan ke kediaman tentera minggu lalu susulan ancaman yang dikaitkan dengan Iran.

Sementara itu, Pejabat Perwakilan Tetap Iran ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di New York menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Teheran sedang mempertimbangkan penggunaan senjata kimia.

Menerusi satu kenyataan rasmi, perwakilan berkenaan menegaskan Iran menganggap penggunaan senjata kimia dalam apa jua keadaan sebagai tidak sah sama sekali dan menyangkal tuduhan palsu serta rekaan yang disebarkan berhubung perkara itu.

Jabatan Pertahanan AS (Pentagon) enggan mengulas lanjut dan merujuk pertanyaan media kepada Pejabat Pengarah Perisikan Kebangsaan (ODNI), yang turut mengambil pendirian mengunci mulut mengenai isu terbabit.

Dalam perkembangan berkaitan, dua pegawai AS turut mendedahkan kepada CNN agensi perisikan sedang memantau petunjuk yang membayangkan Iran berkemungkinan mempertimbangkan penggunaan senjata kimia terhadap anggota tentera AS yang ditempatkan di rantau Asia Barat. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini