PETALING JAYA: Atlet angkat berat negara, Muhammad Hafizuddin Roslin yang cedera serius dalam kemalangan motosikal di Lebuhraya SUKE, malam tadi, kini menerima rawatan dan berada di bawah pemantauan rapi pasukan perubatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Hafizuddin yang merupakan atlet Program Podium Majlis Sukan Negara (MSN) mengalami kecederaan serius di bahagian kaki, bahu dan kepala selepas motosikal ditungganginya dipercayai terbabas kira-kira pukul 11 malam, 16 November lalu.
Menurut Majlis Sukan Negara (MSN), pemeriksaan awal turut mendapati atlet berkenaan mengalami komplikasi hematoma di bahagian bahu kanan.
MSN memaklumkan pihaknya menerima berita mengenai kemalangan itu pada pukul 8 pagi ini sebelum Pengurus Sukan MSN hadir ke HKL bagi mendapatkan perkembangan terkini keadaan Hafizuddin.
Kehadiran wakil MSN itu bagi memastikan kebajikan atlet berkenaan mendapat perhatian sewajarnya sepanjang tempoh rawatan.
“MSN komited untuk menjaga segala aspek kebajikan Hafizuddin dengan menyediakan perkhidmatan serta sokongan terbaik kepada atlet berkenaan sepanjang tempoh rawatan dan pemulihannya,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
MSN turut mendoakan agar Hafizuddin diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian itu, selain dipermudahkan segala urusan rawatan dan pembedahan serta dikurniakan kesembuhan.
Hafizuddin sebelum ini mengharumkan nama negara apabila meraih pingat emas kategori 88 kilogram lelaki pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 dengan jumlah angkatan keseluruhan 345 kilogram menerusi 162 kilogram acara snatch dan 183 kilogram acara clean and jerk.
Kejayaan itu turut menyaksikan beliau mencipta rekod kebangsaan baharu acara snatch menerusi angkatan 162 kilogram, selain melakar rekod baharu temasya Sukan Komanwel bagi kategori berkenaan. – UTUSAN











