PETALING JAYA: Datuk Ismail Lasim mengambil keputusan berundur selepas 106 hari menjadi Menteri Besar dipercayai selepas gagal menyelesaikan kemelut adat dalam tempoh ditetapkan sehingga mencetuskan krisis pentadbiran.
Seorang pemimpin UMNO memberitahu, Ismail mengambil keputusan itu sebagai tanda tanggungjawab susulan kegagalannya menyelesaikan kemelut politik negeri sebelum tempoh yang ditetapkan.
Sumber memberitahu, tempoh tersebut diminta oleh Ismail sendiri kepada kepimpinan UMNO dan beliau akhirnya meletak jawatan supaya penyelesaian dengan cara baharu boleh dilakukan.
“Memang itu tempoh yang beliau minta kepada kepimpinan parti. Setahu saya, memang parti terima keputusan tersebut.
“Bila dia gagal menyelesaikan kemelut di Negeri Sembilan ini, kita harus mencari jalan penyelesaian lain dengan segera supaya keadaan ini tidak terus tergantung,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Mengulas mengenai calon pengganti, sumber yang juga pemimpin BN negeri itu berkata, kepimpinan parti dijadual menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dalam masa terdekat.
Bagaimanapun, beliau tidak mengesahkan nama mana-mana pemimpin yang bakal diangkat sebagai Menteri Besar baharu.
“Ramai yang menyebut Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias akan menjadi Menteri Besar baharu, mungkin dia, tetapi saya tiada jawapan untuk itu.
“Boleh jadi juga nama orang lain, jadi kita serahkan kepada kepimpinan parti,” katanya.











