Ringgit berpotensi mengukuh pada RM4.06 minggu ini - Utusan Malaysia

Ringgit berpotensi mengukuh pada RM4.06 minggu ini

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit dijangka berdepan dagangan berhati-hati menjelang pengumuman Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga Malaysia esok,dengan paras RM4.06 hingga RM4.07 berpotensi dicapai sekiranya data ekonomi menunjukkan momentum pertumbuhan yang kukuh.

Pada pukul 5 petang semalam, ringgit ditutup pada paras 4.0890/0940 lebih tinggi berbanding penutup 4.0900/0950 pada Isnin.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, bagaimanapun, pergerakan kecil itu belum mencerminkan pemulihan ketara mata wang tempatan,sebaliknya menunjukkan pasaran mengambil pendekatan tunggu dan lihat menjelang pengumuman data ekonomi utama.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Konsensus pasaran menjangkakan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.3 peratus pada suku ketiga, dengan perhatian pelabur tertumpu kepada butiranpertumbuhan dan bukannya angka utama semata-mata.

“Antara petunjuk penting yang bakal diperhatikan ialah ketahanan penggunaan swasta serta prestasi eksport elektronik dan pelaburan yang menjadi antara pemacu pertumbuhan ekonomi negara.

“Sekiranya komponen berkenaan menunjukkan prestasi memberangsangkan, ringgit berpotensi mengukuh ke paras RM4.06 hingga RM4.08 berbanding dolar AS sepanjang minggu ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perakaunan dan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Undang-undang, Universiti Taylor, Dr. Paul Anthony Maria Das berkata, pengumuman data KDNK bagi suku ketiga dijangka memberi kesan terhadap pergerakan ringgit berbanding dolar AS, bergantung kepada sejauh mana angka pertumbuhan sebenar menyimpang daripada jangkaan pasaran.

“Pertumbuhan ekonomi negara yang dianggarkan sebanyak 5.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, selepas mencatatkan pertumbuhan 6.0 peratus pada suku kedua, menunjukkan prestasi ekonomi domestik masih berada pada landasan yang positif.

“Bagaimanapun, sekiranya angka rasmi yang diumumkan hampir menyamai unjuran awal, impaknya terhadap ringgit dijangka terhad memandangkan sebahagian maklumat berkenaan sudah diambil kira oleh pasaran.

“Sebaliknya, kejutan pertumbuhan yang lebih kukuh, khususnya didorong perbelanjaan isi rumah dan pelaburan swasta, berpotensi meningkatkan keyakinan pelabur terhadap ringgit,” katanya.

Dalam pada itu, Paul berkata, penurunan FBM KLCI dilihat lebih mencerminkan tindakan pelabur mengurangkan pendedahan risiko berikutan ketidaktentuan pasaran, berbanding petunjuk jelas berlakunya kemerosotan asas ekonomi korporat.

“Perkembangan seterusnya yang perlu diberi perhatian ialah prestasi kewangan syarikat bagi suku ketiga, khususnya dari segi pertumbuhan keuntungan, margin dan unjuran perniagaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini