JOHOR BAHRU: Seorang pengurus koperasi didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi membuat pembiayaan peribadi, empat tahun lalu.
Hakim N. Kanageswari menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Ku Siti Zulaikha Mohamed Zakkariya, 39, selain memerintahkan wanita itu menjalani hukuman penjara selama enam bulan, sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menipu dengan memperdayakan Ibrahim Ali, 61, dengan curangnya mendorong untuk mempercayai bahawa butiran-butiran dalam dokumen sokongan yang dikemukakan untuk permohonan pembiayaan peribadi yang sebenarnya mengandungi butiran-butiran yang palsu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Koperasi Pegawai Kerajaan Daerah Johor Bahru Berhad (KOOPJB), Bangunan Kerjasama, Jalan Dhoby, di sini pada 23 September 2022.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Rasuah Malaysia (SPRM), Fazal Lisam Abidin, manakala tertuduh diwakili peguam Azlan Bohari.
Azlan dalam rayuannya memohon hukuman denda bawah RM10,000 setelah anak guamnya sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapannya.
Tambahnya, tertuduh yang berpendapatan RM4,000 sebulan mempunyai lima orang anak termasuk yang bongsu masih menyusu badan selain menanggung ibunya yang uzur berusia 66 tahun.
Fazal Lisam bagaimanapun memohon hukuman yang setimpal dan bersesuaian terhadap tertuduh telah menyalahgunakan kedudukannya sebagai pengurus koperasi selain memberi pengajaran terhadap wanita itu SERTA masyarakat.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda berkenaan selain menetapkan wang jaminan RM10,000 yang dikenakan sebelum ini dipulangkan. – UTUSAN











