Malaysia hargai ketegasan, pendirian Perancis berhubung isu Palestin - PM Anwar - Utusan Malaysia

Malaysia hargai ketegasan, pendirian Perancis berhubung isu Palestin – PM Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghargai ketegasan dan pendirian konsisten Perancis dalam memperjuangkan isu kemanusiaan di Gaza dan Palestin dengan menyifatkannya sebagai ‘suara hati nurani’ masyarakat antarabangsa.

Anwar berkata, ketegasan negara Eropah itu jelas dilihat menerusi keprihatinan kemanusiaan yang sebahagian besarnya diabaikan kuasa dunia lain kerana dianggap terlalu sensitif.

“Malaysia turut mengecam keras sikap segelintir pihak yang memilih dalam memperjuangkan hak asasi manusia dan keadilan selain pendekatan ‘pilih kasih’ sebagai satu bentuk perbuatan hipokrit di pentas global.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Justeru itu, mesej kemanusiaan yang konsisten daripada kerajaan Perancis amat dihargai dalam usaha mencari keadilan sejagat buat rakyat Palestin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Presiden Perancis, Emmanuel Macro dalam majlis sambutan sempena lawatan rasminya di Bangunan Sultan Abdul Samad (BSAS), di sini, hari ini.

Turut hadir, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Dalam perkembangan geopolitik berasingan membabitkan konflik Rusia-Ukraine, Anwar berkata, Malaysia mengulangi pendirian tegas menentang sebarang bentuk pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

“Pendirian berprinsip itu sudah dinyatakan dengan jelas di dalam negara mahupun di pentas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selaras dengan komitmen Malaysia terhadap undang-undang antarabangsa dan kedaulatan sesebuah negara.

“Bagaimanapun, Malaysia terus mengekalkan pendekatan dasar luar yang seimbang dengan meneruskan hubungan diplomatik berkesan bersama kepimpinan Rusia demi kepentingan strategik dan keamanan serantau,” katanya.

Mengulas mengenai isu sama, Macron berkata, beliau berpendapat bahawa tiada dwi-standard sama ada di pihak Malaysia mahupun Perancis.

“Sememangnya kami menyokong peraturan antarabangsa iaitu Piagam PBB dan kami menyokong kedaulatan di Ukraine dan Palestin.

“Kami juga menyokong hak rakyat untuk hidup dalam keamanan serta mempunyai integriti wilayah mereka,” katanya ketika berucap dalam sidang media bersama itu.

Menurutnya, beliau melihat kekuatan hubungan dua hala antara Malaysia dan Perancis adalah berkhidmat untuk satu pandangan tertentu termasuk penghormatan terhadap peraturan antarabangsa.

“Malah, kami bersedia untuk tidak menjadi negara naungan kepada mana-mana kuasa hegemoni, sebaliknya merintis jalan ke arah kebebasan yang lebih besar.

“Ini termasuk rasa hormat lebih tinggi antara satu sama lain dan hubungan yang lebih kukuh khususnya antara Kesatuan Eropah (EU) dan ASEAN.

 

 

© New Straits Times Press (M) Bhd

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini