KUALA LUMPUR: Maestro muzik, Datuk M. Nasir mendedahkan dirinya kerap mengamalkan gaya hidup sihat sejak usia muda demi mengekalkan kesihatan serta menjaga stamina meskipun menjalani jadual kerja padat dalam industri seni.
Menurut M. Nasir, sebelum menceburi dunia seni dia aktif bersukan dan mengambil pendekatan menjauhi rokok walaupun sering bekerja dalam persekitaran yang dikelilingi perokok.
“Sebelum menceburkan diri dalam bidang hiburan, saya sangat aktif dalam sukan terutama bola sepak. Sukan lain pun saya sertai. Apabila sudah memasuki bidang hiburan, saya masih aktif bersukan, tetapi lebih kepada bersenam.
“Saya tidak tahu bagaimana hendak menjelaskan cara saya menjaga diri, tetapi ada beberapa disiplin yang saya amalkan. Antaranya, saya sentiasa cuba menjauhi perkara yang tidak baik untuk tubuh badan seperti merokok.
“Saya percaya perkara seperti itu boleh merosakkan kesihatan. Mungkin sejak awal lagi saya memang tidak merokok, tetapi itu tidak bermakna saya seorang yang sentiasa sihat.
“Dari semasa ke semasa, ada juga masalah kesihatan yang saya alami,” katanya ketika ditemui pada sidang media konsert Magnum Opus: M. Nasir Dekad Kelima, semalam.
Dalam masa sama, penyanyi lagu Gerhana itu tidak menafikan tekanan yang tinggi sewaktu bekerja juga mampu menjejaskan tahap kesihatan seandainya tidak dikawal dengan baik.
“Dari segi pekerjaan pula, sama ada menyanyi atau menghasilkan lagu, saya juga seperti orang lain. Apabila sudah bekerja, tahap ketekunan itu kadangkala boleh mengejutkan mereka yang tidak biasa dengan cara kerja saya.
“Namun, keadaan itu juga boleh menjejaskan kesihatan. Sebab itu, saya bersyukur kerana disiplin menjaga diri yang diamalkan sejak awal dahulu banyak membantu saya hingga sekarang,” jelasnya.
Pun begitu, M. Nasir mengakui sukar untuk mengekalkan pendirian tidak merokok ketika bekerja dalam persekitaran yang dikelilingi individu yang mengamalkan tabiat berkenaan.
“Memang sukar. Saya sering bertengkar dan bergaduh dengan mereka. Ada kala saya memarahi mereka kerana ketika itu saya berada dalam kedudukan untuk menegur, tetapi ada yang tidak mengendahkannya.
“Jadi, saya sendiri perlu mencari jalan untuk mengelakkan diri daripada berada terlalu dekat dengan mereka terutama ketika mereka sedang merokok,” katanya.
Dalam perkembangan lain, M. Nasir bakal tampil menerusi konsert Magnum Opus: M Nasir Dekad Kelima yang bakal berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), pada 5 Disember ini.
Konsert anjuran Lunchai Emas Sdn Bhd itu juga akan mengetengahkan semula karya ikonik M. Nasir menerusi kolaborasi bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) diiringi Mohd Rafi Shafie selaku pengarah muzik.
Konsert itu juga bakal menampilkan barisan penyanyi jemputan seperti Hazama, Ernie Zakri, Luka Sickta, Kmy Kmo, JoBranko, Kid Search, Pitahati dan Pi’e Ramayan.











