Russia ceroboh ruang udara Jepun, Korea Selatan

Russia ceroboh ruang udara Jepun, Korea Selatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Korea Selatan dan Jepun mengerahkan jet pejuang masing-masing selepas beberapa pesawat tentera Russia dikesan memasuki zon pertahanan udara kedua-dua negara pada Selasa.

Korea Selatan berkata, pihaknya mengerahkan jet pejuang dan melakukan gerakan taktikal selepas beberapa pesawat tentera Russia memasuki Zon Pengenalan Pertahanan Udara Korea (KADIZ).

Ketua Turus Bersama (JCS) di Seoul berkata, jumlah pesawat Russia yang tidak dinyatakan memasuki dan kemudian meninggalkan KADIZ di kawasan Laut Timur, yang turut dikenali sebagai Laut Jepun, pada awal pagi Selasa.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pasukan tentera kami mengesan pesawat Russia sebelum memasuki KADIZ dan mengerahkan jet pejuang tentera udara serta mengambil langkah taktikal bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” menurut kenyataan ringkas JCS.

Zon pengenalan pertahanan udara bukan ruang udara berdaulat sesebuah negara, sebaliknya kawasan penampan yang digunakan untuk mengenal pasti pesawat yang menghampiri bagi tujuan keselamatan.

Pesawat tentera lazimnya dijangka memaklumkan negara berkaitan sebelum memasuki zon pertahanan udaranya, walaupun pemberitahuan itu tidak diwajibkan di bawah undang-undang antarabangsa.

Sementara itu, Jepun berkata, pihaknya mengerahkan jet pejuang selepas dua pesawat yang disyaki milik Russia menceroboh ruang udaranya, selain mengemukakan bantahan keras kepada Moscow.

Pesawat berkenaan memasuki ruang udara Jepun berhampiran Okinoshima di kawasan barat daya Fukuoka, sejurus selepas pukul 4 pagi (waktu tempatan).

Jurucakap tertinggi kerajaan Jepun, Minoru Kihara berkata, Pasukan Pertahanan Diri Jepun mengerahkan jet pejuang bagi memberi amaran kepada pesawat yang disyaki milik Russia itu.

Kihara berkata, pesawat berkenaan melalui Selat Tsushima dan kawasan antara Pulau Yonaguni dengan Taiwan sebelum menuju ke Lautan Pasifik.

“Pencerobohan ruang udara negara kami oleh pesawat Russia bukan sahaja pelanggaran serius terhadap kedaulatan negara, malah mengancam keselamatan kami dan sama sekali tidak boleh diterima.

“Kami mengemukakan bantahan keras kepada Russia menerusi saluran diplomatik dan mendesak tindakan diambil bagi mengelakkan kejadian sama berulang,” katanya.

Hubungan Tokyo dan Moscow semakin tegang sejak beberapa minggu kebelakangan ini susulan penahanan seorang wartawan Jepun atas dakwaan pengintipan serta rampasan aset Japan Tobacco milik Jepun di Russia.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini