Malaysia perlu tunjuk isyarat tegas kepada penceroboh - Utusan Malaysia

Malaysia perlu tunjuk isyarat tegas kepada penceroboh

Lakaran menunjukkan pergerakan pesawat tentera udara China berdekatan Beting Patinggi Ali Isnin lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia perlu bertegas dalam isu kedaulatan negara dengan memberikan isyarat tegas dan tiada kompromi dalam soal itu meskipun mempunyai hubungan baik dengan pihak terlibat.

Hal ini kerana pencerobohan ruang udara dan perairan dalam kawasan kedaulatan negara merupakan satu kesalahan bukan melibatkan Malaysia sahaja, malah juga negara lain.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pensyarah Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Zaid Ahmad menjelaskan, Malaysia wajar memberikan isyarat tegas kepada negara lain termasuk China sendiri bahawa tindakan pencerobohan ruang angkasa negara adalah satu pencabulan undang-undang.

Katanya, mana-mana negara malah China sendiri tidak akan membiarkan kedaulatan mereka diceroboh sehingga menggugat keselamatan tanah air.

Beliau menambah, meskipun Malaysia menghantar nota bantahan diplomatik kepada China, ia tidak cukup sekadar itu dan kerajaan perlu menyatakan pendirian tegas kepada mereka.

“Jika kita tidak tegas dalam isu kedaulatan negara, maka sampai bila-bila perkara sama akan berulang lagi pada masa akan datang. Justeru kita jangan berkompromi dalam isu ini. Jangan biarlah sesekali satu inci sempadan kita diceroboh, kerana ia merupakan tanah air kita dan tiada kompromi dalam soal ini,” katanya semalam.

Pesawat Xian Y-20 China yang didakwa menceroboh ruang udara Zon Maritim Malaysia sempat dirakam oleh pesawat pemintas TUDM Isnin lalu.

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mendedahkan pihaknya mengesan penerbangan mencurigakan sebanyak 16 buah pesawat tentera udara People’s Liberation Army-Air Force (PLAAF) China memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia berdekatan perairan Malaysia Timur dan menghampiri ruang udara nasional pada 31 Mei lalu.

Pesawat-pesawat PLAAF tersebut dikesan oleh Radar Pertahanan Udara TUDM daripada Pusat Pertahanan Udara (CRC 2) di Sarawak pada jam 11.53 pagi waktu tempatan.

Dalam masa sama, Pensyarah Undang-Undang Antarabangsa Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Mohd. Hazmi Mohd. Rusli menjelaskan, Malaysia tidak boleh sesekali berdiam dengan tindakan China itu dan jika negara berbuat demikian, seolah-olah kita mengakui tindakan mereka.

Tambah beliau, negara perlu meningkatkan keberadaan di kawasan tuntutan maritim dengan meletakkan aset ketenteraan dan mengirimkan nelayan tempatan untuk melakukan aktiviti tangkapan ikan di lokasi terlibat.

Katanya, menerusi cara tersebut secara langsung dapat menunjukkan kepada semua pihak bahawa kawasan itu adalah milik negara dan ‘keberadaan’ Malaysia di situ.

“Apatah lagi China pula keras bersama tuntutan sembilan garis putus yang mereka tuntut sehingga dekat ke arah pantai Sarawak. Jadi kalau Malaysia berdiam diri, itu bererti kita mengakui kedaulatan China di kawasan ini,” jelas beliau. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN