KETIDAKTENTUAN dunia kini tidak lagi boleh dilihat hanya melalui perkembangan politik dan ekonomi antarabangsa. Konflik geopolitik, perubahan iklim, gangguan rantaian bekalan serta peningkatan risiko bencana semakin saling berkait dan memberi kesan kepada kehidupan masyarakat.
Konflik geopolitik sering dikaitkan dengan persaingan kuasa dan keselamatan negara. Namun, kesannya turut melangkaui bidang tersebut. Gangguan laluan perdagangan, pengeluaran tenaga, bekalan baja dan penghantaran bahan mentah boleh meningkatkan kos pengeluaran serta menjejaskan bekalan makanan.
Laporan Commodity Markets Outlook Bank Dunia pada Oktober 2026 mengunjurkan harga komoditi global meningkat 23 peratus pada tahun tersebut. Harga tenaga dijangka naik 32 peratus, manakala komoditi makanan meningkat sekitar 10 peratus. Unjuran itu mengambil kira konflik di Asia Barat, gangguan penghantaran bijirin dan ancaman El Nino terhadap hasil pertanian.
Apabila kos tenaga, pengangkutan dan input pertanian meningkat, harga makanan serta barangan pengguna turut berpotensi naik. Golongan berpendapatan rendah lebih terdedah kerana sebahagian besar pendapatan mereka digunakan untuk keperluan asas.
Perubahan iklim menambahkan tekanan terhadap kehidupan manusia. Peningkatan suhu, perubahan corak hujan, banjir dan kemarau boleh menjejaskan pengeluaran makanan, sumber air, kesihatan awam serta infrastruktur.
Perubahan iklim bukan sekadar isu alam sekitar, malah berkait rapat dengan keselamatan manusia. Banjir boleh merosakkan kediaman dan infrastruktur serta mengganggu persekolahan dan perkhidmatan kesihatan. Kemarau pula mengancam bekalan air dan kegiatan pertanian, manakala suhu melampau meningkatkan risiko kesihatan, khususnya kepada warga emas, kanak-kanak dan pekerja luar.
Tekanan menjadi lebih besar apabila gangguan iklim berlaku serentak dengan ketidaktentuan bekalan global. Hasil pertanian yang merosot akibat cuaca ekstrem lebih sukar dipulihkan apabila kos baja, bahan api dan pengangkutan turut meningkat.
Malaysia tidak terkecuali daripada cabaran ini. Kebergantungan pada rantaian perdagangan global menjadikan kestabilan bekalan serta harga barangan perkara penting. Negara juga berhadapan risiko banjir, cuaca panas, hakisan pantai dan tekanan terhadap sumber air.
Data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan kerugian akibat banjir pada 2025 berjumlah RM636.9 juta. Daripada jumlah itu, kerosakan aset awam dan infrastruktur mencatatkan RM380.2 juta, manakala kerosakan kediaman berjumlah RM183.8 juta. Angka ini memperlihatkan bahawa bencana bukan sahaja merosakkan harta benda, malah menjejaskan keselamatan dan keupayaan ekonomi masyarakat.
Kesejahteraan tidak wajar diukur berdasarkan pendapatan dan pertumbuhan ekonomi semata-mata. Akses kepada makanan mencukupi, air bersih, persekitaran selamat, kediaman terlindung dan kemudahan asas juga penting. Golongan rentan seperti warga emas, kanak-kanak, orang kurang upaya serta isi rumah berpendapatan rendah memerlukan perhatian khusus kerana keupayaan mereka untuk pulih daripada krisis lebih terbatas.
Memahami kaitan geopolitik dan perubahan iklim bukan bertujuan menimbulkan kebimbangan, sebaliknya membentuk masyarakat yang rasional, peka terhadap risiko dan bersedia menghadapi perubahan.
Pada peringkat isi rumah, langkah praktikal termasuk mengurus perbelanjaan, mengelakkan pembaziran makanan, menyimpan keperluan asas secara munasabah dan menyediakan simpanan kecemasan. Di peringkat komuniti, jaringan bantuan kejiranan, perkongsian maklumat sahih serta pelan kecemasan dapat meningkatkan kesiapsiagaan.
Pihak berkuasa pula perlu memperkukuh perancangan guna tanah, sistem saliran, infrastruktur tahan iklim, pengurusan air dan sistem amaran awal. Kerjasama serantau dalam perkongsian maklumat iklim, pengurusan bencana dan keselamatan makanan juga penting kerana kesannya tidak terhenti di sempadan negara.
Geopolitik dan perubahan iklim ialah cabaran berbeza yang saling mempengaruhi melalui perdagangan, tenaga, makanan dan sumber semula jadi. Kefahaman serta kesiapsiagaan bersama membolehkan masyarakat menghadapi gangguan, pulih daripada kesannya dan melindungi kesejahteraan pada masa hadapan. –UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. HARYATI SHAFII
Pensyarah Pengurusan Alam Sekitar,
Jabatan Pengurusan Pembinaan,
Penyelidik Utama Pusat Pembangunan Infrastruktur Mampan dan Pengurusan Alam Sekitar (CSIEM),
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)








