KUALA LUMPUR : Kerajaan memerlukan kira-kira RM400 bilion sekiranya mahu mengambil alih semua lebuh raya bertol di negara ini bagi membolehkan kutipan tol dimansuhkan.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, berkata jumlah itu berdasarkan anggaran awal pegawai kementerian, sekali gus menunjukkan komitmen kewangan besar yang perlu ditanggung kerajaan sekiranya cadangan berkenaan mahu dilaksanakan.
“Saya ada bertanya kepada pegawai, kita nak mansuhkan tol ini boleh atau tidak? Terdapat 34 lebuh raya bertol di Malaysia yang dikendalikan oleh 28 syarikat konsesi.
“Berdasarkan anggaran awal pegawai, jika mansuh PTPTN, kerajaan memerlukan kira-kira RM70 bilion untuk bayar, tetapi pemansuhan tol pula memerlukan sekitar RM400 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab isu pemansuhan tol pada sesi perbahasan peringkat jawatankuasa Belanjawan 2027 Kementerian Kerja Raya (KKR) di Dewan Rakyat.
Ahmad berkata, jumlah RM400 bilion itu hampir menyamai keseluruhan bajet tahunan negara sekiranya kerajaan mengambil alih semua lebuh raya bertol berkenaan.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan angka itu hanyalah anggaran awal dan beliau sendiri tidak pasti jumlah sebenar yang diperlukan bagi tujuan berkenaan.
“Kerajaan ada duit untuk mengambil alih semua 34 lebuh raya bertol? Jumlah itu lebih kurang bajet tahunan negara,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad berkata, kerajaan berharap pelaksanaan sistem tol tanpa palang atau Multi-Lane Free Flow (MLFF) dapat disegerakan menerusi kerjasama antara syarikat konsesi lebuh raya.
Bagaimanapun, katanya, beberapa akta perlu dipinda bagi membolehkan sistem berkenaan dilaksanakan, termasuk peruntukan berkaitan tindakan terhadap pengguna yang gagal membayar tol.
“Tanpa palang tol, mungkin ada pengguna yang cuba mengelak daripada membuat pembayaran.
“Oleh itu, undang-undang berkaitan perlu dipinda dan saya berharap proses itu dapat disegerakan,” katanya.










