PETALING JAYA: Semua pihak digesa untuk memperbaharui komitmen politik bagi memuktamadkan Kod Tata Laku (COC) di Laut China Selatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rundingan itu kini berada pada peringkat kritikal dan Malaysia selaku pengerusi bersama China akan terus berusaha mencapai persetujuan.
Menurutnya, Malaysia akan terus komited bagi meneruskan rundingan untuk menjamin keamanan dan kestabilan serantau.
“Komitmen politik baharu daripada semua delegasi amat penting bagi mencapai matlamat bersama kita untuk mewujudkan COC yang berkesan dan substantif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kenyataan negara semasa Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-29 di Manila, Filipina, semalam.
Malaysia merupakan negara penyelaras ASEAN bagi hubungan dialog dengan China.
Selain itu, Anwar berkata, Protokol Naik Taraf Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China, atau ACFTA 3.0, mula berkuat kuasa pada sidang kemuncak itu.
Katanya, oleh itu Malaysia mahu bekerjasama dengan China dalam pelaksanaan peruntukan berkaitan piawaian, persaingan dan perlindungan pengguna.
“Saya menyambut baik kemajuan pelaksanaan ACFTA 3.0 yang membuka lebih peluang perdagangan dan pelaburan khususnya kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana.
“Kerjasama ini juga perlu diperluas dalam bidang ekonomi digital, AI, pemindahan teknologi, pembangunan kemahiran serta peralihan tenaga bersih,” katanya.
Dalam pada itu, kata Anwar, hubungan ASEAN-China kekal kukuh ketika kedua-dua pihak memperingati ulang tahun ke-35 hubungan dialog dan ulang tahun kelima Perkongsian Strategik Komprehensif mereka.
Menurutnya, ASEAN mengalu-alukan sokongan berterusan China terhadap kepusatan ASEAN dan mekanisme yang diterajui ASEAN.
Ia termasuk kesediaan negara itu untuk menandatangani dan meratifikasi Protokol kepada Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara tanpa sebarang syarat.
“Kami menghargai sokongan padu China dalam menangani cabaran keselamatan bukan tradisional, termasuk peningkatan ancaman jenayah siber dan penipuan dalam talian,” katanya.
Mengulas mengenai Gaza, Anwar berkata, China telah menyumbang sebanyak AS$100 juta bagi bantuan kemanusiaan dan pembinaan semula wilayah itu.
“Saya turut menegaskan pendirian Malaysia terhadap kekejaman yang berterusan ke atas rakyat Palestin, khususnya di Gaza. Malaysia juga menghargai sumbangan China dalam membantu usaha kemanusiaan dan pembinaan semula Gaza,” katanya.-UTUSAN.











