SEREMBAN: Mahkamah Tinggi di sini dimaklumkan bahawa pihak terlibat dalam saman menyentuh isu perlembagaan yang difailkan oleh 10 bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan sedang mengadakan rundingan mencapai penyelesaian secara baik.
Perkara itu dibangkitkan ketika prosiding di hadapan Hakim Roz Mawar Rozain semalam.
Peguam plaintif, Datuk Mohd Hafarizam Harun mewakili 10 Exco memberitahu mahkamah perkembangan baharu itu susulan surat bertarikh 10 November yang dikemukakan oleh Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim bersama dengan 10 Exco kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.
Katanya, rundingan itu masih berlangsung dan terma penyelesaian yang dicadangkan belum dimuktamadkan kerana pihaknya perlu mendapatkan arahan dan kelulusan daripada anak guamnya.
“Saya tidak boleh mendedahkan terma penyelesaian itu kerana pihak-pihak terlibat masih berunding. Kami akan dapat memaklumkan perkara itu kepada mahkamah selepas mengadakan perbincangan dengan peguam yang berkenaan serta mendapat arahan dan kelulusan yang sewajarnya daripada anak guam saya,” katanya.
Beliau dijadualkan bertemu dengan anak guamnya dan Ismail bagi mendapatkan arahan lanjut, sambil memaklumkan bahawa perkara itu turut membabitkan pihak istana serta mengesahkan kesahihan surat bertarikh 10 November itu.
Peguam defendan, Datuk Dr Cyrus Das yang mewakili Setiausana Kerajaan Negeri Sembilan juga mengesahkan bahawa beberapa cadangan yang dikemukakan plaintif dan Menteri Besar sedang dipertimbangkan pihaknya serta Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Beliau berkata, pihaknya bersetuju supaya penangguhan singkat diberikan bagi membolehkan semua pihak meneliti sama ada cadangan tersebut boleh diterima dan dilaksanakan.
Roz Mawar menangguhkan prosiding ke Rabu ini pada 9 pagi melalui Zoom untuk membolehkan pihak terlibat memuktamadkan terma penyelesaian.
Mahkamah semalam dijadualkan mendengar bantahan awal oleh pihak defendan yang mencabar penggunaan saman pemula dalam kes berhubung pembatalan pelantikan 10 bekas anggota Exco berkenaan.
Sepuluh Exco itu memfailkan saman pemula bagi mendapatkan tafsiran Perlembagaan Negeri dan menamakan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan dan kerajaan negeri sebagai defendan, manakala Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan (DKU) dibenarkan mencelah dan dimasukkan sebagai defenda ketiga dalam saman pemula itu.
Pada Sabtu lepas, media melaporkan bahawa Ismail mengesahkan sudah menarik balik surat yang dihantar kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja bertarikh 17 Sept, serta pendirian yang sebelum ini dinyatakan oleh Exco berkenaan.– BERNAMA











