Sheikh Hasina nekad pulang ke Bangladesh, tidak gentar ancaman

Sheikh Hasina nekad pulang ke Bangladesh, tidak gentar ancaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Bekas Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina yang dijatuhi hukuman mati selepas digulingkan daripada tampuk pemerintahan pada 2024, bertegas akan pulang ke negara itu pada Disember ini meskipun berdepan ancaman hukuman mati.

Hasina memberitahu AFP pada Isnin, tiada ancaman yang mampu menghalangnya daripada kembali ke tanah air, walaupun beliau menyedari risiko yang bakal dihadapi.

“Saya sedar sepenuhnya risiko yang bakal dihadapi sekiranya pulang. Namun, saya sudah membuat keputusan dan tiada ancaman hukuman mati yang mampu menghalang saya daripada kembali ke negara sendiri,” katanya dalam temu bual melalui emel.

Memuatkan artikel berkaitan…

Hasina melarikan diri ke India pada Ogos 2024 selepas kebangkitan rakyat yang diketuai pelajar menamatkan pemerintahannya selama 15 tahun. Beliau terus bersembunyi di negara itu sejak melarikan diri.

Wanita berusia 79 tahun itu dijatuhi hukuman mati secara in absentia tahun lalu selepas mahkamah Bangladesh mensabitkannya atas kesalahan jenayah terhadap kemanusiaan berhubung tindakan keras berdarah terhadap penunjuk perasaan.

Ketegasan Hasina untuk pulang dibuat beberapa hari selepas Bangladesh menyatakan beliau bakal berdepan hukuman mati sekiranya kembali ke negara itu, selain menegaskan bekas pemimpin berkenaan tidak lagi mempunyai saluran perundangan untuk merayu selepas gagal mengemukakan rayuan dalam tempoh ditetapkan.

Hasina berulang kali menolak kesahihan perbicaraan yang membawa kepada sabitan terhadapnya.

Dhaka sebelum ini meminta India mengekstradisi Hasina, namun New Delhi memaklumkan permintaan itu masih dalam penelitian undang-undang.

Hasina menyifatkan pendirian Bangladesh sebagai bercanggah.

“Selama berbulan-bulan, mereka mendesak saya supaya pulang. Namun, apabila saya mengambil langkah sebenar untuk kembali ke tanah air, mereka kelihatan lebih berminat mengancam saya berbanding membenarkan perkara itu berlaku.

“Sejujurnya, kenyataan bercanggah pihak berkuasa Bangladesh itu cukup mendedahkan sesuatu,” katanya.

Penganalisis berpendapat hasrat Hasina untuk pulang merupakan usaha mengekalkan pengaruh politik, mempertahankan kesetiaan penyokong serta memastikan kelangsungan parti yang pernah mendominasi politik Bangladesh itu, tetapi kini diharamkan.

Beliau juga mungkin menjangkakan kerajaan Bangladesh akan berdepan kesukaran melaksanakan hukuman mati terhadap anak perempuan pengasas negara itu, meskipun hukuman berkenaan sudah dijatuhkan.

Hasina turut menafikan Parti Liga Awami pimpinannya terbabit dalam beberapa siri serangan bom petrol yang berlaku baru-baru ini di Bangladesh, seperti didakwa pihak berkuasa.

Beliau juga menegaskan tidak bercadang mendapatkan bantuan India untuk mengatur kepulangannya.

“Kenapa saya perlu meminta negara lain mengekstradisi saya sedangkan saya sudah membuat keputusan untuk pulang secara sukarela?

“Ekstradisi adalah urusan antara dua negara berdaulat. India akan membuat keputusan sendiri berdasarkan undang-undang, dasar dan kepentingan negaranya,” katanya.

Hasina turut berdepan beberapa pertuduhan lain, termasuk dakwaan rasuah.

Beliau mendakwa lebih 600 kes palsu telah difailkan terhadapnya.

Menurut Hasina, peguamnya sudah mengemukakan permohonan bagi mendapatkan pasport dan kad pengenalan Bangladesh melalui Suruhanjaya Tinggi negara itu di New Delhi.

“Saya sudah mula membuat persiapan untuk pulang ke Bangladesh pada Disember ini.

“Saya tidak mahu mati. Saya mahu hidup dan terus berkhidmat untuk negara. Namun, jika kematian adalah harga yang perlu saya bayar untuk pulang ke tanah air, saya bersedia menghadapinya,” katanya.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini