Kedah dicadang sedia RM1 juta untuk rumah ibadat bukan Islam

Kedah dicadang sedia RM1 juta untuk rumah ibadat bukan Islam

BAU WONG EK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kedah wajar menyediakan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi membantu kerja pembangunan, penyelenggaraan dan pembaikan rumah ibadat bukan Islam negeri ini.

Bau Wong Ek (PH-Sidam) berkata, rumah ibadat bukan Islam bukan sekadar memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakat berbilang kaum dan agama malah menjadi pusat kebajikan, pendidikan, aktiviti kemasyarakatan dan penyatuan komuniti setempat.

Beliau berkata, peruntukan itu boleh dimanfaatkan bagi membantu rumah ibadat seperti kuil Hindu, tokong Cina, gereja, wat, gurdwara serta rumah ibadat masyarakat lain yang memerlukan kerja pembaikan dan penyelenggaraan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Terdapat rumah ibadat berusia puluhan tahun dan memerlukan pembaikan bumbung, pendawaian elektrik, tandas, sistem saliran, struktur bangunan serta kemudahan keselamatan. Saya tidak mempertikaikan peruntukan untuk masjid dan surau.

“Sebaliknya, saya mahu melihat prinsip yang sama dalam memastikan kebajikan rumah ibadat masyarakat bukan Islam turut diberikan perhatian. Keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama tidak cukup sekadar disebut dalam ucapan. Ia perlu diterjemahkan melalui dasar, peruntukan dan tindakan kerajaan,” katanya.

Beliau yang Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) berkata demikian pada sesi perbahasan Bajet 2027 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Menurutnya, berdasarkan Bajet Kedah 2026, sebanyak RM6.1 juta diluluskan untuk masjid dan surau selain sebanyak RM12 juta bagi pembayaran elaun kepada imam, bilal dan siak lantikan kerajaan negeri.

“Saya menyambut baik usaha kerajaan negeri menyediakan peruntukan bagi pembangunan institusi agama dan kebajikan petugas masjid. Namun begitu, saya ingin membawa perhatian Dewan kepada satu persoalan yang juga penting. Bagaimana pula dengan keadaan rumah-rumah ibadat bukan Islam di seluruh Kedah?” katanya.

Beliau turut mencadangkan kerajaan negeri mempertimbangkan satu peruntukan khas tahunan sebanyak RM1 juta untuk pembangunan masyarakat Siam di negeri ini.

“Masyarakat Siam telah sekian lama menetap di Kedah dan turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi, pertanian, kebudayaan serta keharmonian masyarakat. Perhatian terhadap masyarakat berkenaan tidak seharusnya terhad kepada penganjuran sambutan Songkran atau program kebudayaan semata-mata, sebaliknya perlu merangkumi keperluan mereka secara lebih menyeluruh.

“Antara aspek yang perlu diberikan perhatian termasuk pendidikan, kebajikan, pembangunan ekonomi, kemudahan kampung dan pemeliharaan institusi keagamaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini