KPKT salur RM3.14 juta untuk RIBI di Johor sepanjang 2026

KPKT salur RM3.14 juta untuk RIBI di Johor sepanjang 2026

NGA KOR MING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Sebanyak RM3.14 juta diperuntukkan Kerajaan Persekutuan kepada 27 Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) di seluruh negeri ini sepanjang tahun ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, inisiatif itu bertujuan memperkukuh keharmonian masyarakat memelihara kebebasan beragama serta memastikan kemudahan rumah ibadat berada dalam keadaan selamat, selesa dan kondusif.

Katanya, Kerajaan MADANI komited memastikan tiada komuniti yang tercicir daripada menikmati manfaat pembangunan negara tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.

“Kerajaan MADANI tidak melihat pembangunan melalui lensa kaum atau agama semata-mata, sebaliknya memastikan setiap komuniti mendapat manfaat secara adil dan saksama demi memperkukuh perpaduan negara.

“Kepelbagaian yang menjadi identiti Malaysia perlu terus dipelihara dan dirai sebagai kekuatan yang menyatukan rakyat,” katanya pada Majlis Penyerahan Peruntukan Inisiatif Penyelenggaraan RIBI Negeri Johor di Persatuan Memperbaiki Akhlak Che Luan Khor, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Perumahan dan Kesejahteraan Komuniti), Zulkeflee Sulaiman dan Pengerusi Persatuan Memperbaiki Akhlak Che Luan Khor, Kluang, Datuk Sri Pang Chee Khiong.

Sejak 2023 hingga 20 Mei tahun ini, Johor telah menerima peruntukan keseluruhan sebanyak RM18.75 juta yang memberi manfaat kepada 154 buah rumah ibadat bukan Islam di seluruh negeri.

Tambah Kor Ming, Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum, agama dan budaya perlu terus memelihara semangat toleransi serta saling menghormati selaras dengan prinsip Malaysia MADANI.

“Kerajaan juga akan terus memastikan hak kebebasan beragama dipelihara di samping menghormati Islam sebagai agama Persekutuan sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN