PRAGUE: Ratusan ribu rakyat Republik Czech membanjiri ibu negara Prague semalam bagi membantah tindakan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Andrej Babiš, yang didakwa cuba menyekat kebebasan media awam di negara itu.
Perhimpunan mega yang bertujuan mempertahankan kutipan yuran lesen mandatori bagi membiayai penyiar awam Czech itu berjaya menghimpunkan lebih 350,000 peserta, sekali gus menjadikannya antara demonstrasi terbesar dalam sejarah moden negara berkenaan.
Ramai peserta dilihat memakai topi kertas berbentuk segi tiga yang menyerupai watak animasi popular kanak-kanak, Večerníček yang kini menjadi simbol bantahan, selain membawa sepanduk tertera slogan “Kami tidak akan menyerahkan media”.
Demonstrasi tersebut berlangsung di Dataran Letná yang bersejarah, iaitu lokasi bermulanya Revolusi Baldu pada tahun 1989 yang menamatkan lebih empat dekad pemerintahan komunis di negara berkenaan.
Protes berkenaan merupakan cabaran terbaharu terhadap pentadbiran Babiš bersama gabungan parti populis, nasionalis haluan kanan dan euroskeptik, selepas siri demonstrasi di seluruh negara serta tindakan mogok oleh kakitangan Czech TV dan Czech Radio sejak beberapa minggu lalu.
Para penunjuk perasaan membantah rancangan kerajaan memansuhkan yuran lesen dan menggantikannya dengan pembiayaan terus daripada bajet negara yang dikhuatiri memberi kuasa lebih besar kepada menteri untuk mengawal bilik berita.
Pengkritik menyifatkan langkah itu meniru jejak langkah kerajaan populis di Hungary, Poland, Serbia dan Slovakia yang sebelum ini dituduh melemahkan kebebasan media di negara masing-masing.
Gelombang bantahan mula memuncak sejak akhir Oktober lalu apabila bacaan pertama rang undang-undang pemansuhan yuran lesen berkenaan diluluskan secara tergesa-gesa di parlimen pada waktu tengah malam.
Ketua penganjur daripada kumpulan Million Moments for Democracy, Mikuláš Minář menyifatkan himpunan luar biasa itu sebagai permulaan tentangan rakyat dan menggesa pihak berkuasa segera menarik balik cadangan terbabit.
Kumpulan itu turut mengeluarkan kenyataan mengecam Babiš serta sekutu gabungannya yang didakwa mengabaikan pandangan pakar, membisukan pengkritik dan menjadikan institusi demokrasi seolah-olah harta peribadi mereka.
Dalam pada itu, Babiš sebelum ini menafikan dakwaan cuba memiliknegarakan atau campur tangan dalam urusan editorial media awam, namun para penunjuk perasaan berikrar meneruskan tekanan bagi mengelakkan senario sekatan media seperti di negara jiran Slovakia, berulang.- AGENSI











