PETALING JAYA: Anak kepada guru tari, Linda Jasmine iaitu Tengku Ratu, mengakui lebih selesa bertutur dalam bahasa Inggeris meskipun fasih berbahasa Melayu kerana kurang yakin menggunakannya dalam situasi rasmi.
Ratu atau Tengku Ratu Haidar Tengku Iskhan Shah, 17, dia sebenarnya boleh bertutur dalam bahasa Melayu tetapi mudah berasa gementar apabila berhadapan dengan pihak media kerana bimbang melakukan kesilapan ketika menyampaikan sesuatu.
“Sebenarnya saya boleh bercakap dalam bahasa Melayu, cuma apabila berhadapan dengan pihak media, saya lebih mudah berasa gementar kerana takut tersilap cakap.
“Saya cuma tidak mahu melakukan kesilapan, jadi saya lebih berhati-hati apabila bercakap. Apabila bersama rakan-rakan rapat, saya memang bercakap dalam bahasa Melayu.
“Begitu juga dengan peminat kerana saya mahu mereka berasa lebih selesa untuk mendekati saya,” katanya.
Mengulas mengenai kritikan yang diterimanya di media sosial, Ratu berkata, dia tidak mudah terkesan dengan komen negatif meskipun menyedari kewujudan pandangan sedemikian.
Katanya, dia tetap membaca komen orang ramai, namun tidak membiarkan kritikan tersebut menjejaskan keyakinan diri atau menghalangnya daripada melakukan perkara yang diminati.
“Saya tahu apa yang sedang saya lakukan dan saya juga menyukai perkara itu.
“Jika ada yang mahu mengkritik, itu hak mereka untuk memberikan pandangan masing-masing dan saya tidak boleh berbuat apa-apa mengenainya,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ratu menafikan berasa cemburu melihat rakan-rakannya dalam bidang muzik semakin mendapat tempat menerusi tawaran kerja dan peluang menghasilkan solo sendiri selepas menyertai Talk To My Manager (TTMM) musim kedua.
Ujarnya, dia gembira melihat perkembangan kerjaya rakan-rakannya dan percaya setiap individu mempunyai perjalanan serta peluang tersendiri dalam industri seni.
“Saya sangat gembira melihat mereka melakukan perkara yang diminati. Saya juga sedang menantikan giliran sendiri dan selesa dengan apa sahaja yang berlaku ketika ini.
“Saya tidak berasa cemburu atau marah apabila melihat orang lain mendapat tawaran kerja sedangkan saya tidak. Saya gembira dengan perjalanan masing-masing dan teruja untuk melihat apa yang bakal berlaku dalam kerjaya saya nanti,” ujarnya.
Berkongsi mengenai perancangan kerjaya, Ratu berkata, dia kini mahu memberikan tumpuan kepada bidang nyanyian dan bakal melancarkan lagu sendiri dalam masa terdekat.
Walaupun terbuka untuk mencuba bidang lakonan, Ratu mengakui masih belum cukup yakin, terutama apabila perlu menghafal dialog dalam bahasa Melayu.
“Saya masih belum pasti kerana sebenarnya agak gementar untuk berlakon. Bahasa Melayu agak sukar bagi saya, terutamanya untuk menghafal dialog. Mungkin suatu hari nanti apabila saya sudah benar-benar bersedia, saya akan mencuba bidang lakonan.
“Sudah ada beberapa tawaran lakonan diterima baru-baru ini. Namun, saya dan ibu tidak mahu menerima tawaran drama bersiri. Sebaliknya, kami lebih berminat untuk membintangi filem,” katanya.










