Buktikan kemampuan mentadbir bagi raih sokongan rakyat – Hassan Karim - Utusan Malaysia

Buktikan kemampuan mentadbir bagi raih sokongan rakyat – Hassan Karim

PH perlu membuktikan keupayaannya mentadbir bagi menarik sokongan rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu membuktikan kemampuan dalam mentadbir dan mengurus negara, bukan sekadar menggunakan taktik lama dengan memanggil parti lawan ‘sakau’ untuk meraih sokongan rakyat.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, kekalahan PH yang hanya memperoleh empat kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semalam bukan berpunca daripada masalah kepimpinan, sebaliknya disebabkan kelemahan dalam pelaksanaan pentadbiran kerajaan sebelum ini.

Justeru katanya, kerajaan perlu memberi tumpuan dalam aspek pengurusan ekonomi dengan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dan memastikan kos sara hidup tidak terus membebankan rakyat sekiranya mahu memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kenaikan gaji minimum seperti diumumkan dalam Belanjawan 2027 juga mesti dilaksanakan bagi membantu meningkatkan pendapatan pekerja.

“Di samping itu semua Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan reformasi institusi sekarang dan sepanjang 2027 mesti dibentangkan sebelum tamat penggal ke-15 Parlimen Malaysia mesti,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Tambah Hassan, kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim juga perlu memastikan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan kewujudan mafia korporat.

“Siasatan dan pendakwaan dilakukan terhadap mana-mana individu, termasuk tokoh yang mempunyai hubungan rapat dengan Anwar, sekiranya terdapat bukti atau syak wasangka berhubung kegiatan rasuah.

“Langkah berkenaan penting bagi memastikan prinsip keadilan, ketelusan dan akauntabiliti dilaksanakan tanpa mengira kedudukan atau hubungan seseorang individu,” jelasnya.

Hassan berkata, kerajaan juga perlu serius dalam menangani masalah penyelewengan seperti kleptokrasi.

PH mengekalkan empat kerusi yang disandang wakil DAP ia­itu Bandar Hilir, Kesidang, Kota Laksamana dan Ayer Keroh, manakal PKR tewas di semua 10 kerusi yang ditandingi dalam PRN Melaka, kelmarin.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata, kekalahan PH dalam PRN Melaka adalah cetusan semangat untuk bangkit dan meneruskan perjuangan gabungan itu.

“Kalau tidak hari ini, esok, lusa rakyat boleh menilai politik perkauman sempit dan assabiyah bukan jaminan masa depan untuk generasi akan datang. Kami akan membuat analisis untuk mengenal pasti kelemahan jentera dan strategi untuk diperbaiki di masa hadapan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini