KOTA BHARU: Lawar ikan atau kerabu lawar merupakan makanan tradisi Melayu Kelantan yang semakin dilupakan selepas kemunculan menu lain yang lebih popular ketika ini.
Seorang peniaga, Noraini Harun, 55, berkata, disebabkan itu dia mengambil inisiatif sendiri memperkenalkan hidangan tadisional itu supaya terus dikenali oleh generasi kini.
Katanya, lawar ikan juga merupakan menu orang tua zaman dahulu untuk dimakan bersama nasi sama seperti kerabu selepas pulang menangkap ikan di laut.
“Saya lihat generasi sekarang tidak tahu apa itu lawar ikan dan seolah-olah ia kian dilupakan. Oleh itu saya mengambil inisiatif dengan memperkenalkannya semula.
“Lawar ikan berasaskan ikan tamban yang disiat dan kemudian diperah bersama limau nipis, digaul bersama kacang panjang, daun kesum, hirisan bawang merah, cili kecil serta serbuk perasa,” katanya ketika ditemui di Kampung Kedai Buluh.
Tambahnya, resepi makanan itu adalah daripada ibunya, Wan Minah Wan Nawang, 80, yang mahu supaya lawar ikan dapat dijual di kampung.
Dia berharap makanan itu tidak terus dilupakan dan menjadikannya sebagai hidangan tambahan sampai bila-bila.
“Saya harap generasi kini dan akan datang dapat menyediakan lawar ikan kepada keluarga bersama lauk pauk yang lain sebagai pembuka selera,” katanya. – UTUSAN











