PETALING JAYA: Jumlah kediaman siap dibina belum terjual tertinggi direkodkan di Selangor iaitu sebanyak 4,518 unit pada suku ketiga 2026, mengatasi Perak dengan 4,419 unit dan Johor sebanyak 4,264 unit.
Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) dalam satu kenyataan berkata, secara keseluruhan sebanyak 33,598 unit kediaman siap belum terjual direkodkan di seluruh negara dengan nilai RM19.55 bilion pada suku dikaji, meningkat 1.5 peratus dari segi bilangan dan 10 peratus dari segi nilai berbanding suku kedua 2026.
Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 19,871 unit atau 59.1 peratus membabitkan kediaman jenis bertanah, manakala 13,727 unit atau 40.9 peratus adalah kediaman bertingkat tinggi.
“Mengikut tempoh pelancaran, kediaman yang berada di pasaran kurang tiga tahun mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 12,643 unit atau 38 peratus daripada keseluruhan unit siap belum terjual.
“Sementara itu, sebanyak 3,195 unit atau 10 peratus adalah kediaman yang berada di pasaran melebihi 10 tahun,” katanya hari ini.
Dalam pada itu, NPIC yang merupakan agensi di bawah Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) berkata, mengikut julat harga, kediaman berharga RM300,000 dan ke bawah merekodkan jumlah tertinggi iaitu 10,388 unit bernilai RM2.3 bilion, merangkumi 30.9 peratus daripada keseluruhan kediaman siap belum terjual.
Selain itu, kumpulan harga RM300,001 hingga RM500,000 pula mencatatkan 9,847 unit bernilai RM3.9 bilion, diikuti kategori RM500,001 hingga RM1 juta sebanyak 9,663 unit bernilai RM6.9 bilion.
Bagi kediaman berharga melebihi RM1 juta, sebanyak 3,700 unit bernilai RM6.4 bilion direkodkan belum terjual.
Dalam perkembangan berkaitan, NAPIC berkata, prestasi pasaran harta tanah negara mencatatkan pertumbuhan 0.7 peratus kepada 108,990 transaksi bernilai RM60.31 bilion pada suku ketiga 2026 berbanding tempoh sama tahun lalu.
Indeks Harga Rumah Malaysia (IHRM) turut mencatatkan pertumbuhan positif 0.5 peratus kepada 235.4 mata dengan harga purata RM507,809 seunit.
Segmen pelancaran baharu kediaman pula menunjukkan peningkatan apabila sebanyak 19,642 unit dilancarkan berbanding 11,533 unit pada tempoh sama tahun lalu, dengan prestasi jualan sebanyak 7.1 peratus.
Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta JPPH, Datuk Sr Abdul Razak Yusak berkata, prestasi pasaran harta tanah yang berkembang menunjukkan keyakinan industri terhadap inisiatif strategik kerajaan menerusi kerangka Ekonomi Madani.
Beliau berkata, peningkatan jaminan kerajaan sehingga RM20 bilion di bawah Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) bagi pembiayaan perumahan serta pengecualian penuh duti setem bagi pembelian rumah pertama berharga sehingga RM500,000 yang dilanjutkan sehingga 31 Disember 2027 antara langkah menggalakkan permintaan pasaran.
Menurutnya, pasaran harta tanah dijangka kekal stabil, disokong pertumbuhan ekonomi negara, pergerakan harga yang stabil serta aktiviti pembinaan yang aktif, walaupun masih terdedah kepada perubahan ekonomi luaran dan kekangan kemampuan pemilikan hartanah. – UTUSAN











