KUALA LUMPUR: UMNO akan berusaha menyelesaikan kemelut membabitkan adat dan institusi istana di Negeri Sembilan dalam tempoh secepat mungkin.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keutamaan pihaknya pada masa ini adalah memastikan masalah rakyat di negeri itu dapat diselesaikan.
Beliau berkata, usaha berkenaan juga penting bagi memastikan pentadbiran Negeri Sembilan berjalan lancar dan mengikut landasan Perlembagaan Negeri Sembilan.
“(Kemelut di Negeri Sembilan) akan diselesaikan dengan secepat yang boleh.
“Kita akan melakukannya asalkan masalah rakyat di Negeri Sembilan diselesaikan dan pentadbiran di Negeri Sembilan itu berjalan dengan lancar dan mengikut landasan Perlembagaan Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Deepavali anjuran Parti Progresif Penduduk (PPP).
Terbaharu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim mengesahkan telah menarik balik surat pengesahan pelucutan tahta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang diutuskan kepada Raja-Raja Melayu bertarikh 17 September lalu.
Ismail berkata, penarikan surat berkenaan adalah antara salah satu usaha dalam menyelesaikan krisis adat dan pentadbiran di negeri itu.
Sebelum itu, tular di media sosial, surat bertajuk ‘Menarik Balik Kandungan Surat Persembahan Makluman kepada DYMM Raja-Raja Melayu Bertarikh 17 September 2026 dan Pendirian Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri’.
Berdasarkan surat bertarikh 10 November lalu yang diperutuskan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, Ismail memaklumkan beliau bersama 10 ahli MMKN yang dibatalkan sebulat suara bersetuju menarik balik kandungan surat bertarikh 17 September lalu itu.
Keputusan itu dibuat dengan mengambil kira kenyataan media Raja-Raja Melayu bertarikh 14 Oktober lalu serta Perintah Mahkamah Tinggi Seremban pada 5 Jun yang mengekalkan status quo kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Ia juga dibuat demi menjunjung keluhuran Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS 1959) dan memelihara tertib pemerintahan beraja serta memastikan kelangsungan pentadbiran negeri berjalan dalam suasana aman dan teratur. – UTUSAN











