Malaysia sasar kelompok 20 negara teratas indeks inovasi

Malaysia sasar kelompok 20 negara teratas indeks inovasi

ARMIZAN Mohd. Ali ditemui pada sidang akhbar sempena Majlis Perasmian Penutupan Program IP Spark di Dewan SMK Pengalat, Papar. - UTUSAN/RAEESAH HANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PAPAR: Malaysia menyasarkan untuk berada di kedudukan 20 negara teratas dalam Indeks Inovasi Global (GII) menjelang tahun depan berbanding kedudukan ke-34 pada 2025.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata sasaran itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh ekosistem penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I) menerusi Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13).

Katanya, usaha itu turut memberi tumpuan kepada peningkatan penciptaan nilai harta intelek negara, termasuk menyasarkan peningkatan permohonan paten oleh warganegara Malaysia kepada 2,000 permohonan menjelang 2030.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) akan terus mempergiat pelaksanaan program pembangunan kapasiti pada 2027 dengan memberi tumpuan kepada peluasan akses pembiayaan, mempercepat pengkomersialan harta intelek serta memperkukuh perlindungan dan pemilikan aset harta intelek tempatan.

“Antara inisiatif utama yang akan dilaksanakan ialah kemudahan pembiayaan berasaskan harta intelek menerusi IP Valuation Financing Fund bagi membantu syarikat pemula dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mendapatkan khidmat penilaian harta intelek profesional,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penutupan Program IP Spark di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pihaknya turut memberi perhatian kepada pengukuhan kerangka dasar harta intelek negara menerusi kajian penambahbaikan Dasar Harta Intelek Negara (DHIN 2.0) serta kajian perlindungan ekspresi budaya tradisional.

“Langkah berkenaan penting bagi memastikan ekosistem harta intelek negara kekal relevan dan progresif, selain berupaya menangani cabaran perkembangan teknologi serta memenuhi keperluan industri dan komuniti,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini