PUTRAJAYA: Ekonomi Malaysia dijangka mencatat pertumbuhan lebih lima peratus tahun ini untuk tiga tahun berturut-turut, didorong prestasi ekonomi yang kekal kukuh.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, prestasi kukuh itu adalah hasil daripada usaha kerajaan menerusi kerangka Ekonomi Madani untuk meningkatkan siling ekonomi negara bagi mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi dan pekerjaan kepada rakyat.
Katanya, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang 5.1 dan 5.2 peratus masing-masing pada 2024 dan 2025, manakala prestasi bagi tahun ini juga dijangka mengekalkan momentum yang sama.
“Alhamdulillah, yang pentingnya KDNK kita tahun ini, Insya-Allah akan tiga tahun berturut-turut melangkaui lima peratus,” katanya kepada media di program Larian Kewangan 2026 Kementerian Kewangan Bersempena Hari Sukan Negara, di sini, hari ini.
Amir Hamzah berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai jangkaan KDNK suku ketiga yang akan diumumkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 18 November ini.
Terdahulu anggaran awal yang dikeluarkan DOSM menunjukkan ekonomi negara mencatatkan pertumbuhan 5.3 peratus pada suku ketiga 2026.
KDNK negara bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026 setakat ini dilaporkan telah mencecah 5.5 peratus.
Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, langkah kerajaan mengangkat siling penting kerana apabila ekonomi negara lebih berkembang, peluang akan lebih banyak tersedia yang seterusnya dapat menjana pekerjaan yang lebih baik dalam negara.
Selain itu, katanya, peningkatan siling ekonomi turut memberi ruang kepada kerajaan untuk meningkatkan lantai ekonomi bagi memastikan manfaat pertumbuhan dapat dirasai rakyat secara lebih meluas.
Sehubungan itu, katanya, Belanjawan 2027 memberi penekanan kepada usaha meningkatkan pendapatan rakyat termasuk menerusi peningkatan gaji minimum serta usaha menggalakkan syarikat berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menawarkan gaji yang lebih wajar.
“Kita nampak banyak usaha yang kita buat dengan gaji minimum, dengan usaha untuk GLIC, GLC untuk menaikkan gaji wajar adalah untuk fokus di mana limpahan yang datang daripada kenaikan ekonomi akan sampai juga kepada rakyat,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata kerajaan memahami bahawa tidak semua rakyat akan menerima manfaat pertumbuhan ekonomi secara langsung, justeru, bantuan bersasar seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) akan terus diperkukuh.
Katanya, usaha di bawah Payung Rahmah turut ditingkatkan bagi membantu menangani tekanan kos sara hidup.
“Ini satu usaha yang menyeluruh oleh Kerajaan Madani, yang mana bukan saja kita fokus untuk menaikkan ekonomi, tetapi kita nak memastikan rakyat juga dapat merasai apa yang kita dapat daripada kebaikan ekonomi dalam negara,” katanya.
Sementara itu, Amir Hamzah berkata, Larian Kewangan 2026 yang dianjurkan setiap tahun oleh Kementerian Kewangan bersama agensi di bawahnya menghimpunkan lebih 2,000 peserta.
Beliau berkata program yang pada asalnya dijadualkan dua minggu sebelum ini terpaksa ditangguhkan susulan keadaan jerebu.
Katanya, program itu bukan sahaja menggalakkan aktiviti riadah, malah mengeratkan hubungan dan silaturahim antara warga Kementerian Kewangan dengan agensi di bawahnya.
Tahun ini, Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) menjadi tuan rumah program berkenaan, dengan setiap agensi diberi giliran untuk mengendalikan aktiviti sukan bagi memperkukuh kerjasama serta kefahaman antara agensi.- BERNAMA










