Sultan Kedah perkenan pembinaan Muzium Kedah Tua

Sultan Kedah perkenan pembinaan Muzium Kedah Tua

SULTAN SALLEHUDDIN SULTAN BADLISHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah memperkenankan cadangan Universiti Utara Malaysia (UUM) membina Muzium Kedah Tua sebagai usaha memelihara khazanah sejarah dan mengangkat kegemilangan tamadun awal negeri ini.

Sultan Sallehuddin bertitah, khazanah sejarah Kedah itu bukan sahaja mencerminkan identiti dan kegemilangan negeri malah menjadi sumber ilmu yang dapat membimbing serta memberi inspirasi kepada generasi akan datang.

“Sehubungan itu, beta perkenan untuk Universiti Utara Malaysia membina Muzium Kedah Tua. Muzium ini boleh menggambarkan tamadun Kedah Tua, kepada generasi muda.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ini termasuklah hal perkaitan pemerintahan, topografi, sinopsis Kedah Tua dan Tamadun Sungai Batu. Muzium ini juga akan menempatkan artifak pedang, bijih besi, relau besi dan koleksi mata wang,” titah baginda pada Majlis Konvokesyen ke-39 Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini hari ini.

Baginda juga berharap pembinaan muzium tersebut turut mendapat sokongan daripada Kerajaan Persekutuan dengan menjadikan projek ini sebagai produk pelancongan selain meraih dana daripada dermawan.

“Beta dimaklumkan, universiti memerlukan sebanyak RM15 juta untuk membina muzium, lengkap termasuk bangunan baharu, Ruang Pameran Awam, Ruang Pameran Digital, Makmal Konservasi, Stor Artifak Penyelidikan dan Pengurusan,” titah baginda.

Pada majlis sama, Tuanku Canselor berkenan mengurniakan ijazah kepada 105 graduan bermula dengan pengurniaan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan Teknologi, Operasi dan Logistik) kepada Pengarah Urusan Kumpulan Weststar, Tan Sri Dr. Syed Azman Syed Ibrahim, 66.

Sementara Pengerusi Pusat Tuisyen Akademik Darul Bakti Kubang Pasu, Zainol Abidin Mohamad, 68, atau lebih dikenali sebagai Cikgu Non pula menerima Ijazah Kehormat Sarjana Sains (Pengurusan Pendidikan).

Majlis itu turut menyaksikan Anugerah Pelajaran Diraja dikurniakan kepada Irfan Umar Mohd. Nor Fazly, 24, dan Ooi Sze Qin, 24, dari masing-masing dari Selangor serta Anugerah Pingat Emas Canselor kepada Aina Najihah Safaruddin, 24, dari Perak.

Seramai 6,442 graduan akan menerima ijazah masing-masing melibatkan sembilan sesi pada majlis konvokesyen itu yang bermula pada hari ini sehingga 19 November. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini