PETALING JAYA: Pelakon dan usahawan, Shaheizy Sam tidak bersetuju dengan tindakan segelintir peniaga yang sanggup mencetuskan kontroversi menerusi kandungan berunsur fitnah semata-mata untuk meningkatkan jualan produk mereka.
Shaheizy atau Shaheizy Sam Abdul Samad, 44, berkata, kandungan yang tular di media sosial tidak semestinya menjamin jualan meningkat, lebih-lebih lagi jika ia dibuat dengan tujuan memburukkan pihak lain.
“Kandungan yang tular sebenarnya tidak menjanjikan jualan yang baik, terutama sekali jika kandungannya berunsur fitnah.
“Ini namanya menganiaya, bukan berniaga, bagaimana hendak mendapat keberkatan?” katanya menerusi satu hantaran di Threads.
Tambah pelakon Adnan Sempit itu, peniaga perlu memberikan tumpuan kepada usaha memperbaiki diri dan terus konsisten dengan produk masing-masing.
“Fokus sahaja untuk memperbaiki diri sendiri dan konsisten dengan produk, insyaAllah berjaya juga lambat-laun. Paling penting, percayalah Allah itu ada dan balasanNya benar.
“Bila hati rasa perbuatan itu baik, maka Allah akan balas dengan baik. Jangan tipu diri sendiri. Jaga hati,” katanya.
Untuk rekod, Shaheizy Sam mula menceburi dunia seni pada tahun 1995 sebagai pelakon kanak-kanak ketika berusia 12 tahun dan kini melangkah setapak lagi dalam dunia keusahawanan apabila membuka sebuah restoran piza miliknya sendiri. – UTUSAN








