KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada penyanyi Aina Abdul atas kejayaannya meraih tempat keempat dalam pertandingan Eurovision Song Contest Asia (Eurovision Asia) 2026 di Bangkok, Thailand, malam tadi.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Anwar berkata Malaysia tetap berbangga dengan pencapaian penyanyi itu serta seluruh pasukan yang telah mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.
“Alhamdulillah, tahniah Aina Abdul atas kejayaan meraih tempat keempat dalam Eurovision Asia Song Contest 2026! Terus terbang tinggi Aina!” kata beliau.
Dalam pertandingan yang menghimpunkan wakil dari 11 negara Asia itu, Aina mempertaruhkan lagu balada berjudul Bluest Sky, hasil ciptaannya bersama-sama Mac Chew yang berjaya mengumpul 152 markah keseluruhan.
Wakil Filipina, Carmelle muncul juara edisi sulung pertandingan berkenaan menerusi lagu Sobra-Sobra selepas mengumpul 211 mata keseluruhan.
Negara lain yang turut mengambil bahagian ialah Thailand, Vietnam, Nepal, Korea Selatan, Mongolia, Bangladesh, Kemboja, Laos dan Bhutan.-BERNAMA










