Itali denda Meta RM3.62 bilion akses foto, video pengguna Android 

Itali denda Meta RM3.62 bilion akses foto, video pengguna Android 

LOGO Meta pada skrin sebuah telefon bimbit. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MILAN: Agensi perlindungan data Itali pada Sabtu mengenakan denda berjumlah 805 juta euro (RM3.62 bilion) ke atas syarikat gergasi teknologi, Meta Platforms selepas didapati mengakses gambar serta video pengguna peranti Android tanpa kebenaran atau makluman awal.

Menurut kenyataan pihak berkuasa berkenaan, pelanggaran privasi itu berlaku menerusi satu ciri dalam aplikasi Facebook yang bertindak mencadangkan kandungan daripada galeri peribadi pengguna untuk dimuat naik ke platform media sosial tersebut.

Katanya, Meta yang juga syarikat induk Facebook, mengakses kandungan galeri pengguna menerusi aplikasi Facebook pada peranti Android tanpa memaklumkan mereka dengan sewajarnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Susulan keputusan itu, pihak berkuasa memberi tempoh selama 60 hari kepada Meta untuk menyahaktifkan ciri berkenaan serta mendapatkan persetujuan berasingan daripada pengguna sebelum menggunakannya.

Jurucakap Meta bagaimanapun memaklumkan pihaknya akan mengemukakan rayuan kerana membantah keras keputusan berkenaan, selain menyifatkan jumlah denda yang dikenakan sebagai tidak seimbang.

Menurut jurucakap syarikat itu, ciri tersebut hanyalah fungsi ringkas bagi memudahkan pengguna berkongsi gambar serta video di Facebook dan pengguna tetap perlu memberikan kebenaran pada peranti masing-masing yang boleh diubah pada bila-bila masa melalui tetapan.

Lapor Reuters, siasatan yang bermula sejak tahun 2025 itu mendedahkan isu berkenaan menjejaskan kira-kira 20 juta pengguna peranti Android di seluruh Itali.

Pihak berkuasa memaklumkan siasatan tersebut tidak merangkumi kemungkinan penggunaan kandungan peribadi pengguna untuk melatih model kecerdasan buatan (AI), iaitu satu amalan yang dinafikan keras oleh pihak Meta.

Dalam pada itu, agensi perlindungan data berkenaan menegaskan mereka berhak untuk menilai secara berasingan satu lagi ciri baharu yang dilancarkan pada tahun ini yang membolehkan kandungan daripada galeri pengguna diproses melalui storan awan.

Jumlah penalti kewangan yang dikenakan terhadap syarikat induk Facebook dan Instagram itu adalah bersamaan dengan kira-kira 0.47 peratus daripada keseluruhan hasil pendapatan global kumpulan tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini