PETALING JAYA: Isetan Kuala Lumpur memperkenalkan Pesta Kecantikan Isetan 2026 buat julung kalinya dengan menampilkan 100 produk kecantikan berprestij menerusi pameran khas Wall of Fame, bersempena sambutan ulang tahun ke-140 Isetan di Jepun.
Festival yang berlangsung dari 13 hingga 29 November di Isetan KLCC dan Isetan The Gardens itu menghimpunkan pelbagai jenama kecantikan antarabangsa merangkumi produk penjagaan kulit, kosmetik, penjagaan rambut dan wangian.
Antara jenama yang mengambil bahagian ialah Burberry Beauty, Chantecaille, Clarins, Estée Lauder, Hermès Beauty, Lancôme, La Prairie, NARS, Shiseido dan SK-II.
Pameran berkenaan bukan sahaja mengetengahkan produk terlaris, malah turut mengangkat sejarah, inovasi, kepakaran serta warisan jenama yang membentuk perkembangan industri kecantikan global.
Mengangkat tema ‘Seni Menjadi Cantik Luar & Dalam’, festival itu turut memperluas konsep kecantikan dengan menggabungkan elemen kesejahteraan, penjagaan diri, fesyen dan keyakinan sebagai sebahagian daripada gaya hidup moden.
Pendekatan berkenaan mencerminkan perubahan trend pengguna yang semakin melihat kecantikan bukan sekadar penampilan fizikal, sebaliknya turut melibatkan kesejahteraan menyeluruh dan amalan penjagaan diri dalam kehidupan seharian.
Selain itu, festival berkenaan turut menampilkan Isetan WELLife, konsep kesejahteraan khusus syarikat itu yang mengetengahkan 10 produk terlaris merentasi kategori kecantikan, penjagaan diri dan kesejahteraan.
Pengarah merangkap Pengurus Besar Jualan dan Barangan Isetan Kuala Lumpur, Daisuke Yamai berkata, festival itu merupakan platform untuk meraikan kepelbagaian perspektif pengguna terhadap kecantikan, selain mengetengahkan warisan dan inovasi jenama yang dipercayai pelanggan.
“Melalui festival ini, kami meraikan perspektif yang pelbagai sambil mempamerkan warisan dan inovasi di sebalik jenama yang diketahui serta dipercayai pelanggan kami.
“Sempena ulang tahun ke-140 Isetan, kami kekal komited untuk memahami keperluan pelanggan yang sentiasa berubah, mengukuhkan kepercayaan yang dibina selama beberapa generasi dan mencipta pengalaman bermakna sambil mengekalkan warisan kualiti serta perkhidmatan,” katanya dalam kenyataan.
Sambutan ulang tahun ke-140 itu turut menjadi sebahagian daripada usaha Isetan memperkukuh kedudukannya dalam sektor peruncitan menerusi penyesuaian penawaran produk dan pengalaman membeli-belah mengikut perubahan cita rasa serta gaya hidup pengguna.
Usaha itu selari dengan mesej ulang tahun syarikat berkenaan, ‘WAKU WAKU Untuk ANDA’, yang diinspirasikan daripada ungkapan Jepun waku waku yang membawa maksud keterujaan, jangkaan dan kegembiraan.
Mesej berkenaan meletakkan pelanggan sebagai teras pengalaman membeli-belah Isetan, di samping mengekalkan nilai serta identiti Jepun yang menjadi asas kepada jenama itu sejak penubuhannya.-UTUSAN











