MELAKA: Pakatan Harapan (PH) mendahului pengiraan undi tidak rasmi di empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menjadi kubu kuat gabungan itu iaitu Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir.
Di DUN Ayer Keroh, calon PH, Kerk Chee Yee mendahului dengan 1,450 undi, jauh meninggalkan calon Perikatan Nasional (PN), Michael Gan yang memperoleh 420 undi.
Calon Parti Bersama Malaysia (Bersama), Muhaimin Lau pula memperoleh 55 undi, manakala calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd. Hamnaim Mohamad mendapat 54 undi.
Sementara itu, di DUN Kesidang, calon PH, Seah Shoo Chin mendahului dengan 754 undi, diikuti calon PN, Albert Kok dengan 75 undi dan calon Bersama, Dr. Bryan Kek sebanyak 56 undi.
Di DUN Kota Laksamana pula, calon PH, Low Chee Leong mencatatkan 5,785 undi, mengatasi calon Barisan Nasional (BN), Melvin Chua yang memperoleh 1,307 undi.
Calon Bersama, Ethan Lim Zhi Hao pula mendapat 625 undi.
Di DUN Bandar Hilir, calon PH, Leng Chau Yen turut mendahului dengan 4,865 undi, diikuti calon BN, Jasmine Lok yang memperoleh 1,026 undi.
Calon Bersama, Ir. Dr. Rashidi Jalil pula mendapat 521 undi.
Bagaimanapun, angka berkenaan merupakan keputusan pengiraan undi tidak rasmi dan keputusan sebenar tertakluk kepada pengumuman rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). – UTUSAN










