BERUAS: Polis memulakan siasatan sejak April 2025 berhubung dakwaan Malaysia dijadikan lokasi transit bagi aktiviti pengalihan cip kecerdasan buatan (AI) keluaran Nvidia secara tidak sah ke negara lain.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siasatan itu dijalankan susulan dakwaan Amerika Syarikat (AS) mengenai kemungkinan wujud kegiatan pemerolehan secara tidak sah (illicit procurement) termasuk penggunaan syarikat proksi yang beroperasi di Malaysia.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Akta Perdagangan Strategik 2010 yang membabitkan beberapa agensi kawal selia termasuk Bank Negara Malaysia (BNM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
“Polis turut menjadi antara agensi yang terlibat (siasatan) manakala Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bertindak sebagai agensi peneraju,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kampung Angkat Madani dan Sekolah Angkat Madani Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di Kampung Sungai Tiram, Lekir, Sitiawan, di sini hari ini.
Menurut beliau, sebarang penemuan hasil siasatan akan dimaklumkan kepada MITI untuk disalurkan kepada pihak AS yang mengemukakan aduan berhubung isu berkenaan.
Katanya, skop siasatan polis turut merangkumi penelitian sama ada Malaysia benar-benar digunakan sebagai hab transit bagi aktiviti pengalihan cip AI berkenaan.
Mengulas lanjut beliau berkata, siasatan berkenaan mempunyai tahap kerumitan tersendiri kerana membabitkan penelitian berlapis bagi mengumpul bukti berkaitan kemungkinan berlaku aktiviti pengalihan atau pemerolehan cip secara tidak sah.
“Tentunya siasatan tersebut sangat kompleks namun saya mengesahkan bahawa perkembangan siasatan telah dimaklumkan kepada MITI untuk disampaikan kepada pihak yang berkenaan,” katanya. – UTUSAN










