Gempa bumi dedah rahsia runtuhan 15 menara Venezuela

Gempa bumi dedah rahsia runtuhan 15 menara Venezuela

GAMBAR fail menunjukkan bangunan kediaman yang musnah di Caraballeda selepas gempa bumi melanda Venezuela pada Jun lalu.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CARACAS: Kecacatan struktur termasuk pemasangan tetulang besi yang tidak mengikut piawaian dan kemungkinan penggunaan konkrit berkualiti rendah dipercayai antara faktor yang menyumbang kepada runtuhan 15 menara perumahan awam di Venezuela akibat dua gempa bumi kuat pada 24 Jun lalu.

Dapatan itu berdasarkan analisis CNN terhadap rakaman video dan gambar beberapa bangunan berkenaan ketika proses pembinaan serta selepas runtuh, yang menunjukkan kemungkinan wujud kelemahan dalam kaedah pembinaan projek perumahan kerajaan tersebut.

Sebanyak 15 menara di bandar pesisir Caraballeda runtuh dalam gempa bumi berukuran 7.2 dan 7.5 skala Richter. Setiap bangunan itu mempunyai lebih lapan tingkat dengan sekurang-kurangnya 240 unit kediaman.

Memuatkan artikel berkaitan…

CNN mendapati sebahagian tetulang besi pendek dan sengkang yang sepatutnya dibengkokkan pada sudut 135 darjah mengikut kod pembinaan Venezuela 2006, dipercayai hanya dibengkokkan pada sudut 90 darjah.

Pakar kejuruteraan struktur berkata, pemasangan sengkang yang tidak sempurna boleh menjejaskan kekuatan tiang, sekali gus meningkatkan risiko runtuhan bangunan ketika berlaku gegaran kuat.

Menurut CNN, imej sekurang-kurangnya dua kompleks menunjukkan tetulang besi dipasang terlalu rapat tanpa diikat secara berkelompok seperti yang ditetapkan dalam kod pembinaan, manakala kesan karat serius ditemukan pada sekurang-kurangnya tiga kompleks.

Pakar turut mengaitkan kemungkinan penggunaan konkrit berkualiti rendah dengan masalah berkenaan. Dua pekerja pembinaan memberitahu The New York Times, pasukan mereka mencampurkan bahan lain ke dalam konkrit bagi menjimatkan penggunaan bahan binaan.

Laporan itu mendakwa, masalah pada bangunan itu sebenarnya sudah dibangkitkan penduduk sejak hampir sedekad lalu, termasuk aduan mengenai kebocoran air, kerosakan paip dan sistem kumbahan. 

Seorang penghuni turut melaporkan lantai rumahnya mudah retak akibat hentakan, manakala kejadian siling runtuh sehingga mencederakan seorang wanita dilaporkan pada 2025.

Menara berkenaan merupakan sebahagian daripada projek perumahan awam yang dibangunkan ketika pemerintahan bekas Presiden Hugo Chávez bagi menempatkan keluarga yang kehilangan tempat tinggal akibat banjir dan tanah runtuh pada 2010. 

Projek itu dilaksanakan dalam tempoh kurang setahun menerusi Pejabat Presiden bagi Pelan dan Projek Khas (OPPPE).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini