KUALA LUMPUR: Sambutan luar biasa terhadap AM:PM SHOWCASE menyaksikan penyanyi Amir Masdi menambah satu lagi slot persembahan bagi memenuhi permintaan peminat yang tidak berpeluang mendapatkan tiket untuk malam pertama.
Amir bakal mengadakan persembahan selama dua malam berturut-turut di Zepp Kuala Lumpur, masing-masing pada 19 dan 20 Disember ini.
Persembahan anjuran ULTIMATE MEDIA dengan kerjasama BACKSTAGE EVENTS serta sokongan MENARANETWORK itu bakal memberi peluang kepada peminat mendekati penyanyi berusia 30 tahun berkenaan menerusi sebuah persembahan eksklusif yang mengetengahkan sisi peribadinya sebagai penyanyi, penghibur dan pengkarya.
Amir yang popular menerusi lagu Nur Cinta sebelum ini membuktikan kredibilitinya sebagai antara penyanyi lelaki berkualiti di negara ini menerusi rangkaian lagu hit serta persembahan pentas yang bertenaga.
Malah, sebagai finalis Anugerah Juara Lagu 40 (AJL40), penyanyi itu kini bersedia mencipta satu lagi momen bermakna dalam perjalanan seninya menerusi AM:PM SHOWCASE.
Menurut Amir, idea menghasilkan persembahan berkenaan tercetus daripada keinginannya untuk meraikan perjalanan seni bersama peminat yang tidak pernah berhenti memberikan sokongan sejak awal pembabitannya dalam industri muzik.
Katanya, dia mahu setiap penonton bukan sekadar menikmati persembahan, sebaliknya merasai hubungan lebih dekat dengan lagu dan cerita yang disampaikan sepanjang acara berkenaan.
“Saya selalu percaya setiap lagu ada kisahnya sendiri dan setiap peminat juga ada cerita yang menghubungkan mereka dengan lagu-lagu tersebut. Sebab itu saya mahu AM:PM SHOWCASE menjadi sebuah malam yang cukup istimewa.
“Saya mahu semua yang hadir bukan sekadar menonton persembahan, tetapi pulang dengan kenangan yang sukar dilupakan.
“Kami sedang menyiapkan pelbagai elemen baharu supaya pengalaman pada malam itu benar-benar berbeza daripada persembahan yang pernah saya lakukan sebelum ini,” katanya.
Tambah Amir, AM:PM SHOWCASE juga merupakan hadiah penghargaan buat semua peminat yang terus mempercayai dan menyokong perjalanan muziknya selama ini.
Sementara itu, Pengarah Projek ULTIMATE MEDIA, Ekmal Md Nor berkata, keputusan menambah slot kedua dibuat susulan permintaan tinggi daripada peminat yang terlepas peluang mendapatkan tiket bagi persembahan malam pertama.
“Melihat kepada permintaan yang tinggi dan bagi mengelakkan peminat tegar Amir berasa kecewa, kami mengambil keputusan untuk meneruskan showcase ini pada malam kedua.
“Tiket bagi persembahan tambahan mula dijual malam ini, 14 November, pada pukul 9.30 malam. Jadi, peminat Amir dinasihatkan supaya tidak melepaskan peluang mendapatkannya.
“Showcase eksklusif selama dua jam itu bakal menampilkan kira-kira 22 lagu popular Amir untuk dinikmati peminat yang hadir,” katanya.
Menurut Ekmal, Amir dipilih kerana bukan sahaja mempunyai kredibiliti sebagai penyanyi dan penghibur, malah memiliki kelompok peminat yang semakin berkembang.
Katanya, menerusi AM:PM SHOWCASE, pihak penganjur mahu mengetengahkan sisi Amir yang lebih dekat dengan peminat melalui persembahan eksklusif yang sarat emosi dan berbeza daripada konsert berskala besar.
“Setiap elemen yang dirancang, daripada susunan muzik dan visual hinggalah pengalaman penonton, diberi perhatian teliti bagi memastikan malam tersebut menjadi kenangan yang sukar dilupakan.
“Kami turut menjalinkan kerjasama strategik dengan Nova Music bagi memastikan aspek penerbitan, teknikal dan pengalaman penonton berada pada tahap terbaik,” katanya.
Jelasnya, pemilihan Zepp Kuala Lumpur pula bersesuaian dengan konsep persembahan yang lebih intim, sekali gus membolehkan interaksi antara Amir dan peminat berlangsung dengan lebih dekat.
Sehubungan itu, peminat dinasihatkan mendapatkan tiket lebih awal berikutan sambutan menggalakkan yang diterima.
Tiket AM:PM SHOWCASE boleh dibeli menerusi platform ILASSO TICKETS dengan harga RM350 bagi kategori PREMIUM SEAT, RM278 (CAT 1), RM228 (NORMAL SEAT), RM218 (CAT 2) dan RM111 (CAT 3 – berdiri).











