Kerajaan mudahkan proses pembinaan sekolah bantuan kerajaan - Utusan Malaysia

Kerajaan mudahkan proses pembinaan sekolah bantuan kerajaan

WONG Kah Woh (dua dari kiri) bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (dua dari kanan) melaksanakan gimik pada Majlis Pecah Tanah Bangunan Baharu SJKC Heng Ee Pulau Pinang. - UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Kerajaan akan memudah cara segala proses berkaitan pembinaan sekolah bantuan kerajaan bagi memastikan projek pembangunan dan pemindahan sekolah dapat dilaksanakan dengan lebih lancar tanpa berdepan kerenah birokrasi yang berpanjangan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) komited membantu menyelesaikan segala urusan berkaitan khususnya membabitkan kelulusan pembinaan dan pemindahan lokasi sekolah yang mempunyai keperluan serta permintaan enrolmen.

”Sekiranya tapak baharu telah dikenal pasti dan isu berkaitan tanah diselesaikan, KPM tidak mempunyai masalah untuk memberikan kelulusan bagi membolehkan projek berkenaan diteruskan,” katanya selepas menghadiri Majlis Pecah Tanah Tapak Baharu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Heng Ee di Bayan Lepas, di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam pada itu, beliau berkata, pemindahan SJKC Heng Ee dari George Town ke Bayan Lepas diluluskan KPM pada Jun 2025 selepas menerima permohonan daripada Lembaga Pengelola Sekolah pada tahun sama.

Katanya, langkah itu diambil berikutan keadaan sekolah asal yang semakin tidak kondusif selain jumlah enrolmen murid yang semakin berkurangan dengan hanya kira-kira 130 murid masih mengikuti pembelajaran di lokasi berkenaan.

Beliau berkata, sekolah baharu itu akan dibina dengan 18 bilik darjah yang mampu menampung 540 murid berdasarkan kapasiti 30 murid bagi setiap kelas manakala jumlah itu boleh meningkat kepada 630 murid sekiranya setiap kelas menempatkan 35 murid.

Bagaimanapun, katanya, KPM tidak mempunyai halangan sekiranya pihak sekolah ingin mengemukakan permohonan pembinaan fasa kedua dan ketiga sekiranya mendapat sambutan menggalakkan selepas mula beroperasi.

Malah, katanya, pilihan pelaksanaan sesi persekolahan dua sesi juga boleh dipertimbangkan sekiranya jumlah enrolmen meningkat melebihi 1,000 murid bagi memenuhi keperluan kawasan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini