PETALING JAYA: Semua anggota Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu dilengkapi senjata renjatan elektrik atau taser gun bagi meningkatkan keselamatan anggota ketika berdepan penjenayah khususnya suspek bersenjata tajam.
Pakar Kriminologi dan Keselamatan Sempadan, Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Zalmizy Hussin berkata, pembekalan senjata berkenaan boleh dilaksanakan secara berperingkat dengan disertakan tiga syarat wajib bagi memastikan ia tidak disalahguna.
Katanya, syarat berkenaan merangkumi latihan bertauliah kepada anggota, mewajibkan pemakaian kamera badan dan setiap insiden penggunaan taser gun perlu dilaporkan serta disiasat.
“Dengan menggunakan taser gun, ia menjadi salah satu pendekatan pertengahan yang lebih berperikemanusiaan dalam menangani suspek berbahaya tanpa perlu menggunakan senjata api yang boleh membawa maut.
“Senjata ini berupaya melumpuhkan suspek bersenjata tajam dari jarak antara lima hingga tujuh meter sekali gus memberi ruang kepada anggota polis mengawal keadaan tanpa perlu menggunakan tindakan yang lebih ekstrem,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Tambah Zalmizy lagi, kaedah penggunaan senjata itu juga berpotensi mengurangkan risiko kecederaan serius kepada anggota polis dan suspek ketika operasi penguatkuasaan.
Malah, katanya penggunaan taser gun di United Kingdom (UK) dan Australia telah berjaya menunjukkan pengurangan kecederaan serius sehingga 70 peratus.
Dalam pada itu, Zalmizy berkata, sistem pengurusan warga asing didakwa masih berdepan masalah ketirisan apabila data Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), PDRM, Education Malaysia Global Services (EMGS) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) tidak diselaraskan secara menyeluruh.
Beliau berkata, keadaan itu boleh menyebabkan berlakunya kelompongan dalam proses semakan latar belakang, pemantauan status imigresen serta penguatkuasaan terhadap warga asing yang melanggar peraturan. – UTUSAN











